Search This Blog

Wednesday, August 7, 2013

Kisah Syawal, si hero berani

Kisah Syawal, si hero beraniMuhammad Syawal bersama ibunya melibat cebisan baju raya milik adiknya

JERTIH – Kisah sedih membabitkan satu keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kubang Depu kelmarin bukan sahaja menceritakan ketabahan seorang bapa mencari nafkah untuk membeli baju raya untuk anaknya.
Sebaliknya turut mengisahkan keberanian dan kepintaran seorang anak kecil, Muhammad Syawal, 5, yang layak digelar hero kerana berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Syakir, 4, daripada terperangkap dalam kebakaran rumahnya pada jam 11.30 pagi, kelmarin.

Anak sulung kepada pasangan Mohd Shukri Mohd Noor, 36, dan Huslina Abd Rahman 26, itu bertindak bijak dengan menarik tangan adiknya keluar dari rumah setelah menyedari bahagian bilik rumah mereka terbakar.

Ketika kejadian, mereka berdua baru selesai dimandikan oleh nenek mereka, Fatimah Sulaiman, 55 yang tinggal di rumah berdekatan.

Waktu itu hanya mereka berdua di dalam rumah kerana ibu dan adik bongsu mereka, Muhammad Syahril, 3, keluar mengikut bapa mendapatkan pekerjaan di Gong Kepas dekat Kampung Raja demi membeli baju raya Muhammad Syawal yang masih belum dibeli.

Menurut Fatimah, cucunya itu menjerit sambil memegang tangan adiknya keluar dari rumah kemudian menyerahkan Muhammad Syakir kepadanya.

“Dia berlari keluar sambil menarik adiknya yang kelihatan enggan keluar dengan menjerit berkata ‘tok ma, tok ma api dalam rumah',” katanya mengenai cucunya yang memanggilnya dengan panggilan tok ma.

Lari ke rumah terbakar selamat selipar raya adik, ibu

Katanya, selepas meletakkan adiknya di tempat selamat, anak kecil itu berlari semula ke arah pintu utama rumah yang sedang marak terbakar itu demi menyelamatkan pula sepasang selipar raya adiknya (Muhammad Syakir) dan ibunya yang terletak di dalam rumah berhampiran pintu utama.
Kata Fatimah, Syawal memberitahu bapanya, dia hanya sempat menyelamatkan selipar adik dan ibunya sahaja manakala selipar lama ayahnya tidak dapat diselamatkan.
Tidak cukup dengan itu, dia yang bersekolah tadika berlari pula meminta bantuan penduduk kampung untuk memberitahu kejadian itu, di samping mencari bapanya yang disangka bekerja membina rumah di kampung sama kira-kira satu kilometer dari situ.
Kepantasan dan kebijaksanaan Muhammad Syawal melegakan ibu dan ayahnya yang sangat bimbangkan nasib mereka berdua yang berada di dalam rumah itu memandangkan dalam tempoh beberapa minit sahaja rumah tersebut musnah sepenuhnya.

Fatimah pula, mengumpul kudrat yang tidak seberapa mendukung ibunya (nenek Mohd Shukri), Che Mah Che Noh, 80, yang lumpuh keluar dari rumahnya kerana bimbang api dari rumah anaknya merebak ke rumahnya, di samping membawa bersama Muhammad Syakir.

Sementara itu, Mohd Shukri melahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila ada suara sumbang mengatakan dia sengaja membakar rumah itu demi mendapat sumbangan wang daripada orang ramai.

Kecewa dituduh sengaja bakar rumah

“Saya amat kecewa dengan tuduhan liar sedemikian kerana mana mungkin saya sanggup lakukan perkara seperti itu,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian menyiarkan kisah sedih sekeluarga ini apabila kegembiraan Mohd Shukri yang berjaya  memperoleh pekerjaan sebagai tukang rumah demi membeli baju raya anaknya, tidak kekal lama kerana sebaik pulang, dia dapati rumahnya hangus terbakar.
Dia pergi memohon kerja itu dengan membawa bersama isteri, Huslina Abd Rahman, 26, dan anak bongsu mereka Muhammad Syahril, 3, dengan harapan majikan yakin dengan kesungguhannya untuk mendapatkan kerja.

“Saya merayu diberi kerja walaupun untuk tempoh dua hari demi membeli pakaian raya anak sulung saya, Muhammad Syawal, 5, yang masih belum mempunyai baju raya," katanya.

Hasil pendedahan kisahnya semalam turut mendapat simpati pembaca Sinar Harian yang bertalu-talu menghubunginya untuk menyalurkan bantuan.
Semalam juga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut dan Adun Hulu Besut telah melawat mangsa.

No comments:

Post a Comment