Search This Blog

Friday, August 2, 2013

Ketua Geng Payong dipenjara


Ketua Geng Payong dipenjara


Ketua Geng Payong dipenjara Tiga ahli kumpulan Geng Payong dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu buat pertama kali untuk dibaca pertuduhan iaitu pada 23 Mei lalu.

MARANG - Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun kepada ketua kumpulan Geng Payong selepas mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan membabitkan kes pecah rumah dan gagal memberi keterangan terhadap barang pecah rumah yang dijumpai bersamanya.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas Mohd Ridhwan Bakar, 23, mengaku salah terhadap sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mohd Ridhwan mengaku bersalah melakukan pecah rumah dengan mencuri sebuah komputer riba dan telefon bimbit, milik Mohd Sukri Ishak, 49, di sebuah rumah di Kampung Binjai Bongkok Bukit Payong, Marang kira-kira jam 8 pagi pada 31 Mac lalu.

Mohd Ridhwan turut mengaku bersalah empat lagi pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan termasuk tiga dilakukan bersama dua ahli kumpulannya iaitu Mohd Muslim Mohd Shah, 26, dari Kampung Tanjung Air, Telemung, dan remaja berusia 17 tahun dari Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Mohd Ridhwan mengaku bersalah bersama Mohd Muslim memecah masuk dan mencuri barang berharga serta wang milik Eshamuddin Shah Omar, 36, di Batu 9, Bukit Payong, antara jam 8 pagi hingga 1 tengah hari pada 10 April lalu.

Dia turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan pecah rumah bersama seorang remaja bawah umur.

 Selain itu, Mohd Ridhwan mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesemua kesalahan itu, Noradila menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan memerintahkan semua hukuman tersebut dijalankan secara berasingan.

Sementara itu, rakannya, Mohd Muslim yang berdepan dua pertuduhan pecah rumah dijatuhi hukuman penjara 54 bulan.

Bagaimanapun, seorang remaja berusia 17 tahun yang berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Noradila menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen di Mahkamah Majistret Marang.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Mahathir Mohd Yusof, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian 17 Mei lalu melaporkan tiga tertuduh terbabit mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit hasil daripada menjual barangan curi dengan harga murah di Marang dan Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment