Search This Blog

Wednesday, August 7, 2013

Kes tembakan maut berterusan, kali ini di Kelantan


Kejadian tembakan maut tidak terhenti minggu lalu apabila tirai Isnin dibuka dengan kejadian yang berlaku di Pasir Puteh, Kelantan di mana mangsa yang baru selesai bersahur dibunuh dengan enam das tembakan.

Nampaknya, ketakutan rakyat Malaysia dengan peningkatan kes tembak bunuh dari jarak dekat tidak akan berakhir begitu sahaja.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi tadi, mangsa Amirul Tajo Nasir, 40, yang baru selesai bersahur di kedai makan di Kampung Gong Mengkeleh meninggal dunia selepas terkena enam das tembakan di dada, perut dan punggung.

"Sebelum ditembak, saya sempat dengar mangsa ada menceritakan kepada rakannya bahawa ada orang diupah untuk menembaknya," kata Nor Hadiyana Zakaria, 25, yang turut cedera dalam kejadian seorang penoreh getah maut selepas bersahur semalam.

Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.

Manakala, Nor Hadiyana cedera di lutut kanan selepas terkena sedas tembakan dan turut menerima rawatan di HUSM dan dilaporkan stabil.

Nor Hadiyana berkata ketika kejadian dia sedang membantu ibu angkatnya Zainab Derani, 44, berniaga di kedai yang dibuka sejak awal bulan lalu.

Katanya, ketika itu dia ada mendengar mangsa bercerita kepada salah seorang rakannya bahawa ada orang yang diupah untuk membunuhnya.

"Tidak lama kemudian, mangsa bersama dua rakannya baru selesai membuat bayaran makanannya untuk pulang ke rumah sebelum secara tiba-tiba dua lelaki menaiki motosikal berhenti di hadapan kedai sebelum pemboncengnya mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan.

"Saya sempat mendengar mangsa menyebut 'Allah, Allah, Allah' sebelum rebah dalam keadaan berlumuran darah," katanya.

Katanya, dia kemudian melarikan diri masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan anaknya yang berusia setahun yang sedang di dalam rumah.

"Entah macamana ketika berlari itu secara tiba-tiba saya terasa sakit pada bahagian kaki dan terkejut melihat darah memancut keluar daripada lutut kanan. Ketika itu saya baru sedar turut terkena sedas tembakan.

"Saya kemudian di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, selepas Amirul minum di luar kedai berkenaan bersama dua rakan dan membayar harga minuman sambil berbual dengan Nor Hadiyana, muncul sebuah motosikal Yamaha LC warna merah hitam ditunggang dua lelaki berjaket hitam memakai topi keledar.

Katanya, dalam jarak kira-kira dua meter, pembonceng motosikal melepaskan tembakan ke arah Amirul dan turut terkena Nor Hadiyana.

"Di tempat kejadian polis menemui 10 kelongsong peluru, 5 slug peluru 9mm dan 3 slug peluru dipercayai .38.

"Motif kejadian masih disiasat dan suspek sedang dikesan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Peningkatan kes tembakan menggemparkan negara minggu lalu apabila tujuh hari berturut-turut menyebabkan polis digesa menumpukan semula sepenuhnya menyelesaikan kes pembunuhan.

Polis dan Menteri Dalam Negeri menyalahkan kejadian tembak bunuh kerana pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO) dimana mereka mendakwa menyebabkan penjenayah bebas kembali membalas dendam membunuh pemberi maklumat.

Dakwaan itu bagaimana pun ditolak pemimpin pembangkang yang mengkritik polis hanya mahu perkenalkan undang- undang baru tapi tidak mahu meningkatkan usaha siasatan untuk menangkap suspek.

Dilaporkan terdapat lebih dari 20 kes yang melibatkan pembunuhan senjata api pada berapa bulan kebelakangan ini termasuk seminggu lalu membabitkan kes berprofil tinggi seperti aktivis dan pengasas bank.

No comments:

Post a Comment