Search This Blog

Saturday, July 6, 2013

Tiga maut dilibas kipas bot


Johor Bahru: Tiga pendatang asing tanpa izin yang sedang berenang ke darat maut selepas terkena kipas enjin bot pancung apabila tekong bot terbabit cuba melarikan diri daripada ditahan Polis Marin di Sungai Rengit, Kota Tinggi, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam di Pantai Ladang Rusa, Batu Layar itu, mangsa, dua lelaki dan seorang wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mati akibat cedera parah di badan serta kepala.


Timbalan Komander Polis Marin Wilayah Dua Superintendan N Kalai Chelvan berkata, berdasarkan maklumat awam, anggota Markas Taktikal Polis Marin Pengerang bergegas ke lokasi kejadian.



“Ketika itu, puluhan warga asing, ada yang cuba diseludup keluar serta ada yang mahu masuk ke negara ini berada di lokasi berkenaan.


“Kami melakukan serbuan dan beberapa warga asing yang ada dalam bot terjun ke dalam laut untuk berenang ke darat,” katanya, semalam.


Menurut Kalai Chelvan, tekong terbabit kemudian memecut bot ke tengah laut sebelum terjun untuk menyelamatkan diri daripada ditahan pasukan Polis Marin.

Katanya, pihaknya menahan 45 warga asing membabitkan 36 lelaki dan lapan wanita warga Indonesia manakala seorang lagi warga asing ditahan berasal dari Pakistan.


“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui dua mayat lelaki dewasa dan satu mayat wanita yang mati akibat kecederaan di kepala dan badan dipercayai terkena kipas enjin apabila tekong memecut ke tengah laut.

“Tekong terbabit pula gagal dikesan sehingga kini manakala warga asing lain tidak mengenali ketiga-tiga mangsa itu,” katanya.


Menurut Kalai Chelvan, semua warga asing itu berusia antara 20 hingga 45 tahun dan ditahan mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002.


Beliau berkata, mereka dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit untuk siasatan lanjut.


“Sepanjang Januari hingga tangkapan ini dibuat, kami menyelesaikan 27 kes.


“Semua kes diselesaikan ini disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang, Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002, kami turut menahan 259 warga asing,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan diminta menghubungi polis di nombor telefon 07-2372222 atau 07-2376122.

No comments:

Post a Comment