Search This Blog

Friday, July 5, 2013

Tidur berbahang


Batu Pahat: “Saya sedang tidur apabila terasa bahang menyebabkan terjaga sebelum mendapati rumah terbakar,” kata Masidah Baseri, 43., di sini, semalam. Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, rumah didiami Masidah bersama suami M Salim Yusof, 47, dan tiga anak perempuan di Kampung Parit Betong, Parit Sulong, musnah dalam kebakaran.

Masidah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dibantu jiran, mereka berusaha memadamkan kebakaran sementara menanti bomba dan penyelamat tiba.


“Sejurus menyedari rumah terbakar saya terus membawa anak berusia dua tahun keluar sebelum mendapatkan bantuan jiran,” katanya.



Salim berkata, dia sedang memancing di parit berhampiran apabila dimaklumkan kejadian oleh jiran.


“Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak, tetapi syukur mereka sudah keluar daripada rumah.


“Saya sempat menyelamatkan barangan kemas yang disimpan di dalam bilik selain mengeluarkan perabot dengan bantuan penduduk, namun wang disimpan hangus,” katanya.

Menurutnya, wang itu simpanannya sekeluarga dan dikumpul hasil kerja kampung dilakukannya.


Bagaimanapun, dia bersyukur kerana keluarganya selamat walaupun kediaman mereka hangus.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari M Nasir M Shah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.52 pagi.


“Kami mengerahkan lapan anggota serta sebuah jentera ke lokasi kejadian namun berdepan kesukaran kerana kampung terbabit tiada papan tanda selain pili bomba.


“Punca kebakaran masih disiasat dan api dipadam dalam 10 minit,” katanya.

No comments:

Post a Comment