Search This Blog

Tuesday, July 16, 2013

'Tertekan lepas kematian ayah'

'Tertekan lepas kematian ayah'
Muda dijatuhi hukuman penjara 34 bulan dan tiga sebatan selepas mengaku memiliki dadah.
KUALA TERENGGANU - “Saya terlibat dengan dadah kerana tertekan selepas kematian ayah. Saya benar-benar menyesal dan tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang, saya harap mahkamah dapat meringankan hukuman,” demikian rayuan seorang pengait kelapa sawit kepada Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan menjatuhkan hukuman penjara 34 bulan dan tiga sebatan terhadap Muda Mat Lawi @ Mohamad, 30, selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin dan morfina pada April lalu.

“Saya harap dengan hukuman ini, awak insaf dan gunakanlah masa di penjara nanti untuk beribadat serta mendekatkan diri dengan ALLAH, apatah lagi ketika ini kita berada dalam bulan
Ramadan yang penuh berkat,” kata Mohd Yazid sebelum membuat keputusan itu.

Terdahulu, Muda yang masih bujang itu mengaku bersalah memiliki dadah berbahaya iaitu heroin dan monoacetylmorphines seberat 3.77 gram di sebuah rumah di Kampung 100 Felda Neram 1, Kemaman, kira-kira jam 3.30 petang, 3 April lalu.

Dia mengaku bersalah di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Muda tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman membuat Ops Tapis Khas di sebuah rumah sebelum Muda tiba dengan menaiki motosikal.

Sebaik memperkenalkan diri, Muda ditahan di hadapan pintu belakang bahagian dapur lalu merampas beg sandang sebelum pemeriksaan menemui dadah heroin seberat 2.19 gram dan monoacetylmorphines seberat 1.58 gram.

No comments:

Post a Comment