Tak sempat minum petang
Struktur rumah kayu menyebabkan api marak dan merebak begitu pantas
GEORGETOWN - Belum sempat menjamah hidangan minum petang, seorang nenek terpaksa meninggalkan makanannya dan terus berlari keluar dari rumahnya apabila anak perempuannya tiba-tiba menjerit mengatakan api sedang merebak di bahagian belakang rumah mereka.

Maznah Othman, 65, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja menyiapkan hidangan minum petang untuk dinikmati bersama anak perempuan dan cucunya namun belum sempat menyuap makanan ke dalam mulut dia dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

Menurutnya, disebabkan terkejut dengan kejadian itu, dia terus berlari menyelamatkan diri.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.10 petang itu menyebabkan lima rumah terjejas termasuk dua rumah musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku di perkampungan Pengkalan Weld di sini.

Menceritakan detik mencemaskan itu semula, Maznah berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memimpin tangan cucunya keluar dari rumah.

“Saya tak sempat nak selamatkan langsung barang-barang termasuk dokumen penting kerana api merebak dengan begitu pantas.
“Mulanya saya ingat kebakaran itu hanya berlaku di bahagian belakang rumah kerana di situ ada sebuah pondok usang yang selalu menjadi sarang penagih dadah, namun apabila saya keluar dari rumah mendapati pondok dan bahagian dapur rumah saya mula hangus dijilat api,” katanya kepada Sinar Harian.

Bimbang keadaan bertambah buruk, Maznah dan anak perempuannya yang berusia 26 tahun segera mengetuk pintu rumah jirannya yang berhampiran dan mengarahkan mereka menyelamatkan diri.

“Tidak sampai beberapa minit rumah saya yang didiami sejak lima tahun musnah.

“Walaupun sedih dengan kejadian ini saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Saadiah Ibrahim, 53, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di dalam rumahnya dan dikejutkan dengan jeritan orang ramai yang mengarahkannya segera meninggalkan rumah kerana api sedang marak.

“Apabila terjaga dari tidur, saya mendengar adik menjerit dari luar bilik mengarahkan segera keluar kerana rumah kami juga terlibat dalam kebakaran itu.

“Mujur bahagian dapur rumah saya sahaja yang terbakar dan saya sempat selamatkan beberapa barangan penting dan dokumen lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain berkata, ketika pasukannya tiba di tempat kejadian mendapati api marak dan disebabkan keadaan jalan sempit menyukarkan jentera bomba untuk menghampiri lokasi kejadian.

Menurutnya, struktur rumah yang kebanyakan daripada kayu dan kedudukan yang terlalu hampir menyebabkan api merebak begitu pantas.

“Bagaimanapun kita tidak mengambil masa yang lama untuk mengawal kebakaran dan ia berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.50 petang,” katanya.

Ismail berkata, pihaknya juga mendapat bantuan daripada pasukan bomba sukarela selain bantuan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat dari Jalan Perak.