Search This Blog

Friday, July 5, 2013

Tak mengaku pecah amanah


Kuantan: Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM20,925 di dua mahkamah berbeza, di sini, semalam.

Tertuduh Mohd Faizal Aziz, 35, dari Seremban, Negeri Sembilan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Bagi pertuduhan pertama dan kedua di Mahkamah Majistret 2, Mohd Faizal didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang deposit pembelian sebuah kereta Mitsubishi Lancer Sport kepunyaan seorang pelanggan wanita berjumlah RM1,000 untuk kegunaan sendiri.

Dia yang juga penasihat jualan Syarikat Sendang Motor Sdn Bhd melakukan kesalahan itu pada 26 Ogos 2011 di pejabat syarikat itu di Jalan Beserah kira-kira jam 4.30 petang.


Tertuduh kemudian mengulangi kesalahan terhadap pelanggan sama dengan jumlah wang deposit sebanyak RM9,980 di lokasi sama pada 26 September 2011 jam 2.30 petang.


Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dan beliau menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan.


Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminannya atas alasan dia sudah diberhentikan dan kini bekerja di kedai makan milik keluarganya dengan gaji sebanyak RM800 sebulan selain terpaksa menanggung dua anaknya.

Majistret Jesseca Daimis membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 19 Julai ini untuk prabicara.


Bagi pertuduhan ketiga dan keempat di Mahkamah Majistret 1, tertuduh didakwa pecah amanah dengan menyalahgunakan wang deposit pembelian sebuah kereta Mitsubishi Triton kepunyaan pelanggan.

No comments:

Post a Comment