Search This Blog

Tuesday, July 16, 2013

Ribuan protes mahkamah


Sanford (AS): Beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke jalan raya di sekitar AS ketika Presiden Barack Obama merayu orang ramai supaya bertenang selepas mahkamah membebaskan seorang lelaki daripada kesalahan menembak mati remaja berkulit hitam.

Antara bandar raya yang menjadi lokasi protes pembebasan George Zimmerman itu ialah New York, San Francisco, Boston, Detroit dan Chicago.


Sekurang-kurangnya enam orang ditahan di Los Angeles awal pagi semalam ketika polis antirusuhan menyuraikan “perhimpunan haram” berhampiran bangunan CNN di Hollywood. Penunjuk perasaan melaungkan slogan “Tiada keadilan, tiada keamanan!” sambil menghalang lalu lintas di sebatang laluan penting di sebuah bandar raya lain. Zimmerman, 29, yang ketika itu bertugas sebagai pengawas kejiranan didakwa mengejar Trayvon Martin, 17, di kawasan berpagar di Sanford.

Dia menembak Martin selepas mereka bergaduh pada malam 26 Februari 2012.


Peguam bela berjaya meyakinkan juri bahawa Zimmerman yang berkulit putih dan berdarah Hispanik melepaskan tembakan sebagai cara mempertahankan diri akibat tindakan Martin menjatuh dan menghentak kepalanya ke jalan raya.


Protes semalam mengingatkan orang ramai kepada ketegangan kaum berdarah pada April 1992 di Los Angeles.

Protes teramai dicatatkan di New York City apabila beberapa ribu orang berarak ke Times Square dengan diawasi polis.


Sementara itu Obama berkata, warga AS perlu bertenang dan menerima keputusan mahkamah.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan juri sudah membuat keputusan.


“Kini saya meminta warga AS menghormati permintaan ibu bapa mangsa yang mahu semua pihak bertenang,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment