Pulau Legenda dilanda banjir
Banjir berdekatan jalan Pantai Cenang. Foto: kiriman Mohd Zaini.
KUAH - Hujan yang lebat sejak tengah hari semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Pulau Langkawi telah dinaiki air sehingga mencecah beberapa meter dan mencemaskan penduduk yang terlibat.

Pegawai Perhubungan Awam, Pejabat Daerah Langkawi (PDL), Norulida Nayan ketika dihubungi berkata dua pusat perpindahan dibuka iaitu Dewan Al Syifa, Padang Mat Sirat dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang.

"Satu mesyuarat khas telah diadakan bagi melancarkan bantuan kepada mangsa terlibat manakala agensi berkaitan seperti bomba, JPAM telah bersiap sedia membantu menghadapi bencana banjir di sini," katanya.

Kawasan yang teruk dilanda musibah adalah sekitar Padang Mat Sirat dan Kedawang. Di Padang Mat Sirat jambatan yang menghubungkan laluan ke Kuala Teriang telah dinaiki air sungai yang melimpah dan tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan.

Limpahan paras air Sungai Melaka juga menjejaskan pergerakan harian penduduk sekitar kerana memasuki kawasan pasar awam. Kawasan-kawasan lain yang dikenalpasti adalah Ulu Melaka, Bandar Kuah, Kampung Limbong Putra, Kampung Atas, Kampung Bawah, Titi Changkung dan Bukit Kemboja.

"Data-data mangsa terlibat dikumpulkan dan bantuan segera juga akan diuruskan untuk meringankan beban mereka," katanya.