Dalam serbuan jam 12.30 pagi itu, seramai 45 Pati terdiri daripada 36 lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Pakistan dan lapan wanita warga Indonesia turut ditahan.

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2), Superintendan N Kalai Chelvan berkata, serbuan itu dilakukan bertindak atas maklumat diterima oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Pengerang.

Menurutnya, serbuan itu dibuat terhadap sekumpulan manusia datang dari daratan ke pantai dan cuba menaiki bot pancung selain yang sedang turun dari bot menuju ke daratan.

“Semasa serbuan dilakukan, bot pancung tersebut telah cuba melarikan diri ke tengah laut dan tekong bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri.

“Pemeriksaan dilakukan menemui dan menahan 45 Pati. Selain itu, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua turut menjumpai dua mayat lelaki dewasa dan satu mayat wanita dipercayai telah mengalami kecederaan parah akibat terkena ‘propeller’ dipercayai dilanggar oleh bot fiber berukuran 30 kaki X 6 kaki serta tiga injin sangkut jenis Yamaha 200 hp.

“Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit, Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Kalai Chelvan berkata, dalam tempoh dari Januari hingga semalam, sebanyak 27 kes tangkapan sudah dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) Johor di bawah kesalahan Akta Anti Pemerdagangan Orang, Anti
Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 Pind. 2002 yang berjaya menahan 259 Pati.

Pasukan Polis Marin Wilayah Dua (2) mengalu-alukan maklumat orang awam mengenai apa juga kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya di kawasan pesisir pantai.