Search This Blog

Saturday, July 6, 2013

Pengasuh, ibu bapa tak mahir punca bayi maut tersedak susu


Kuantan: Kurang pengetahuan dan kemahiran penjagaan bayi oleh ibu bapa atau pengasuh dikenal pasti menjadi antara punca berlakunya kejadian tersedak susu sehingga boleh membawa maut.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, walaupun perkara berkenaan dianggap remeh setengah pihak namun ia perlu dipandang serius terutama ibu bapa yang bekerjaya supaya dapat mengelak daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, sebagai individu paling hampir dengan bayi mereka sepatutnya belajar dan memahirkan diri dalam aspek berkenaan terutama dalam menghadapi situasi bayi tersedak susu.

Sesuatu yang malang apabila mereka kehilangan bayi akibat tersedak susu sedangkan perkara berkenaan boleh dielakkan jika mereka mahir menjaga dan mengendalikan bayi mereka.

Beza dengan keadaan dahulu, kebanyakan ibu bersalin pulang ke kampung dan dijaga ibu bapa masing-masing jadi mereka menerima tunjuk ajar dan nasihat daripada individu berpengalaman, katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Saintifik Perubatan Keluarga Ke-17 2013, di sini, semalam.

Persidangan anjuran Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia itu bertema Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) 4,5,6: Adakah Kita Sudah Mencapainya? dihadiri lebih 100 pakar perubatan di seluruh negara.

Dr Lokman berkata, perubahan gaya hidup pada masa kini dengan sebahagian besar yang bekerjaya dan menghantar anak ke pusat asuhan menyebabkan golongan wanita kurang mahir mengendalikan bayi masing-masing.
Beliau berkata, seandainya kemahiran itu tidak dipertingkatkan pasti akan timbul kesulitan dan akhirnya menyumbang kepada peningkatan kes bayi mati akibat tersedak susu.

Katanya, tindakan ibu bapa menghantar bayi mereka ke pusat penjagaan juga tidak dapat menjamin keselamatan bayi mereka kerana kejadian itu juga turut berlaku di pusat berkenaan.

Jadinya, kita ada menyediakan kursus bagi meningkatkan kemahiran penjagaan bayi kepada pengasuh dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya.

No comments:

Post a Comment