Search This Blog

Wednesday, July 31, 2013

Pelakon tertusuk pisau


Kuala Lumpur: Akibat salah percaturan langkah ketika melakonkan babak aksi untuk drama siri Menjinak Ombak, pelakon muda, Shukri Yahya cedera parah selepas pisau jenis ‘Rambo’ tercucuk di lengan kanannya hingga tembus.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama siri popular, Juvana itu panik dan kemudian menarik keluar pisau bergerigi itu menyebabkan isinya terkeluar dan darah memancut banyak dalam kejadian jam 5 petang Ahad lalu di Ulu Yam, Selangor. Shukri ketika dihubungi semalam hanya menyifatkan kejadian itu adalah kesilapan teknikal dirinya sendiri dan bukannya salah mana-mana pihak. “Ketika latihan awal sebelum memulakan penggambaran semuanya berjalan lancar. Saya dan Fezrul Khan yang perlu melakonkan babak pergaduhan itu sudah tahu langkah untuk bermain dengan pisau itu.


“Namun ketika penggambaran sebenar, saya tersilap langkah hingga tertikam lengan sendiri. Sepatutnya tikaman itu saya tolak dengan tangan kiri dan kemudiannya menepis dengan tangan kanan, namun tersilap pula hingga terkena di bahagian pergelangan tangan kanan.

“Bagaimanapun saya puji sikap pengarah, Along Kamaruddin yang bergegas menanggalkan bajunya untuk mengikat lengan bagi menghentikan darah keluar dengan banyak,” katanya yang dihantar terus ke Hospital Selayang dan dinasihatkan berehat selama tiga hari di hospital sebelum menjalani rawatan susulan.


Along ketika dihubungi pula memuji sikap Shukri yang tidak panik, malah mengakui silapnya sendiri.


“Saya perlu puji sikap Shukri yang langsung tidak menyalahkan sesiapa dan tenang hingga dibawa ke hospital sedangkan kejadian itu memang mengejutkan kesemua tenaga produksi di lokasi.

“Drama Menjinak Ombak sudah 70 peratus siap dan produksi akan menunggu hingga Shukri betul-betul pulih untuk kembali menyudahkan baki lakonannya memandangkan dia adalah watak utama drama ini,” katanya yang sempat menjenguk Shukri hingga kedua-dua ibu bapanya tiba jam 11 malam Ahad dari Semenyih.

No comments:

Post a Comment