Search This Blog

Friday, July 5, 2013

Pak cik tersalah tekan pedal


Petaling Jaya: Akibat tersalah tekan pedal minyak kereta dipandunya, seorang pesara merempuh motosikal dinaiki anggota polis dan rakannya sebelum mengheret kenderaan ringan itu 50 meter dalam kejadian berhampiran Apartmen Lagoon Perdana, Bandar Sunway, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pesara berusia 60-an itu dikatakan keliru antara pedal minyak dan brek kereta transmisi automatik dipandunya sebelum dia yang hendak menekan brek sebaliknya tertekan pedal minyak.


Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Marzuki, 39, berkata, sebelum kejadian, anggota polis yang tamat bertugas dan rakannya membeli kuih di gerai berhampiran apartmen itu.

“Pesara terbabit pula menunggu rakannya dalam kereta yang diletakkan depan gerai kuih itu dan gerai makanan lain sebelum diminta mengalihkan kenderaannya kerana menghalang operasi perniagaan.


“Tiba-tiba, kereta dipandu pesara itu merempuh motosikal dinaiki anggota polis dan rakannya menyebabkan mereka melambung ke atas jalan,” katanya.


Katanya, kereta terbabit tidak berhenti selepas merempuh motosikal berkenaan, sebaliknya mengheret 50 meter sebelum berhenti selepas melanggar pagar pintu masuk apartmen.

“Saya difahamkan anggota dari Balai Polis Sunway itu dan rakannya cedera ringan pada tubuh dan kaki sebelum dihantar ke hospital oleh orang ramai.


“Pesara terbabit tidak cedera tetapi trauma dengan kejadian itu yang pertama kali berlaku terhadapnya,” katanya.

Marzuki berkata, pesara terbabit mengaku tersalah tekan pedal minyak dan gagal mengawal keretanya akibat panik selepas merempuh motosikal berkenaan dan mengheretnya sehingga pintu masuk apartmen.


“Dia cuba menekan brek selepas masuk gear pada D ketika mahu mengalihkan kereta malangnya tertekan pedal minyak dengan kuat menyebabkan kereta memecut ke hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment