Nekad lari tinggal MyKad
Sebahagian daripada penunggang yang diperiksa dalam operasi khas JPJ, kelmarin
KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki nekad melarikan diri walaupun MyKad dan lesennya masih ada pada anggota penguat kuasa, ketika pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggangnya dalam Operasi Khas Motosikal, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Jalan Bangsar menghala ke Pusat Bandaraya, malam kelmarin.

Tindakan remaja berusia 19 tahun itu akhirnya membongkar status motosikal berkenaan yang disyaki motosikal curi berdasarkan nombor pendaftaran yang dikenal pasti didaftarkan atas milik sebuah kereta.

Siasatan lanjut juga mendapati, nama daftar pemilik motosikal berkenaan tidak sama dengan identiti remaja itu yang juga dipercayai anak seorang anggota tentera.

Apa yang menarik perhatian adalah pelekat di motosikal tersebut yang menyerupai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun diubah suai, diletakkan logo aksi penunggang motosikal di bahagian tengah dengan moto ‘Rempit Diraja Malaysia’.

Dalam operasi sama juga, beberapa penunggang motosikal dikesan cuba melarikan diri dengan berpatah balik, termasuk melalui siar kaki, namun berjaya ditahan polis bahagian trafik yang turut sama dalam operasi itu.

Sementara itu, operasi bermula jam 8 malam itu diketuai Ketua Bahagian Operasi JPJ Wilayah Persekutuan, Zamri Zainal Abidin, yang turut disertai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kuala Lumpur,
Shamsuddin Sulaiman, bersama kekuatan anggota seramai 85 orang, membabitkan agensi PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Shamsuddin berkata, sejumlah 1,065 motosikal diperiksa dan seramai 200 penunggang motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen, lesen tamat tempoh, tidak mempunyai cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan.