Bimbang diusir pemilik rumah
Zaharah menggunakan besen untuk menadah air hujan.
Bimbang diusir pemilik rumah
Sebahagian penduduk yang pernah membuat permohonan rumah.
BUKIT JENUN – 50 penduduk daripada tujuh keluarga yang tinggal di perumahan Estet Kongsi Baru dekat Kilang Kechik di sini mendakwa dipinggirkan berikutan permohonan mendapat bantuan rumah daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) tidak mendapat maklum balas.

Tinjauan Sinar Harian di perumahan yang berusia lebih 100 tahun berkenaan mendapati keadaan rumah penduduk sangat usang manakala bumbung bagi beberapa rumah mengalami kebocoran.

Difahamkan perumahan estet itu adalah untuk pekerja ladang ketika zaman British lagi iaitu sebelum kemerdekaan.

Penduduk yang memilih untuk menetap di situ adalah terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki tanah mahupun rumah sendiri.

Penduduk, Siti Hasa Mohamad, 70, berkata, dia menetap di situ sejak kecil sehinggalah berkahwin dengan suaminya, Ahmad @ Yusof  Hassan, 75, dan terus menetap di sini selepas kematian ibu bapanya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan rumah Keda di Tanjung Setol pada tahun 2008 namun sehingga kini tiada respons daripada pihak terbabit.

“Rata-rata penduduk di sini tidak mahukan bantuan lain dari kerajaan melainkan bantuan penempatan rumah kerana bimbang jika diusir pemilik tanah di sini.

“Keadaan rumah saya sangat usang, bumbung rumah pula bocor sehingga saya terpaksa tutup dengan plastik, namun kami redha memandangkan kami tiada pilihan lain,” katanya.

Siti Hasa berkata, dia dan suaminya mengambil upah menoreh getah dengan sumber pendapatan sebanyak RM500 sebulan namun pendapatan itu tidak menentu kerana bergantung kepada keadaan cuaca.

Bimbang diusir

Penduduk juga bimbang jika pemilik tanah mengusir mereka daripada kawasan itu memandangkan tiada perjanjian surat yang dilakukan antara penduduk dan pemilik.

Jamilah Taib, 43, berkata, sudah 15 tahun dia menetap di situ dengan membayar RM900 sebagai kebenaran daripada penduduk sebelumnya yang ingin berpindah.

Katanya, disebabkan tiada penempatan lain dan tidak mampu membayar sewa rumah menyebabkan dia membuat keputusan membeli rumah daripada penduduk asal yang ingin berpindah.

“Rata-rata penduduk bimbang akan diusir pemilik tanah kerana tiada penempatan lain memandangkan permohonan rumah Keda yang dimohon beberapa kali tidak pernah berjaya.

“Penduduk di sini rasa seperti dipinggirkan kerana tiada wakil rakyat yang tampil membela nasib kami yang menumpang di sini,” katanya.

Bagi Nur Saliza Sharif, 33, dia terpaksa membeli rumah dengan kos RM3,000 daripada pemilik asal walaupun mengetahui rumah itu tidak menjadi miliknya.

Katanya, dia telah memohon rumah daripada Keda namun sehingga sekarang tidak mendapat maklum balas.

Tiada sumber pendapatan

Bagi Zaharah Md Zain, 63, berkata, dia hanya mengharapkan simpati orang ramai membantunya memandangkan suaminya, Harun Chin, 61, terlantar selepas terbabit kemalangan.

“Saya minta penempatan rumah banyak kali dah tapi tak pernah dapat walaupun rata-rata orang tahu saya tiada sumber pendapatan.

“Saya kecewa kerana semua yang penduduk minta gagal mendapat maklum balas,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan penjelasan berkaitan masalah penduduk berkenaan daripada beberapa wakil rakyat di sini.