Ayat al-Quran silap, KDN serbu premis jual khat
Shafie (kanan) memeriksa perhiasan khat sambil dibantu oleh Norazle.
NILAI - Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pemeriksaan mengejut di beberapa premis menjual barangan perhiasan khat berasaskan ayat suci al-Quran di kawasan perindustrian Nilai 3, semalam.

Operasi bersepadu yang bermula sekitar jam 11 pagi itu disertai 45 anggota dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran (PQ) KDN Putrajaya, Selangor dan Melaka/Negeri Sembilan.

Ketua Unit Penguatkuasaan PQ Putrajaya, Norazle Sulaiman berkata, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (Jheains) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebanyak 17 daripada 29 premis diperiksa dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 (Akta 326).

“Selain itu, kita juga berjaya merampas sejumlah 507 perhiasan khat dianggarkan bernilai RM44,330,” katanya.

Sementara itu, mengulas punca perhiasan khat tersebut dirampas, Naib Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran KDN, Shafie Shaari menjelaskan, terdapat kesilapan pada petikan ayat al-Quran dipamerkan.

“Kita menyarankan pengusaha perhiasan khat supaya membuat semakan dengan pihak KDN sebelum memasarkan sesuatu produk bagi mengelakkan perkara sebegini berulang,” katanya.