Tze Wei
Tze Wei
GEORGETOWN - Seorang bapa rungsing apabila mendapati anak perempuan berusia 14 tahun tiada di dalam bilik tidurnya selepas pintu belakang rumah terbuka kira-kira jam 6 pagi Jumaat lalu.

Selepas disiasat, bukan sahaja pintu belakang rumahnya terbuka, malah ditemui kain alas tidur (toto) serta selimut anaknya berada di atas meja di bahagian belakang rumah mereka di Mukim 11, Sungai Ara dekat sini.

Bapa remaja berkenaan, Yee Tee Haw, 49, berkata, beliau mendapati telefon bimbit anaknya dan pengecas juga tiada dan terdapat kesan rumput seperti dipijak orang belakang rumah mereka.

Difahamkan, kira-kira jam 5 pagi Tee Haw menyedari bunyi salakan anjing peliharaan namun tidak mengendahkannya kerana tidak mengesyaki apa-apa.

Menurut sumber, ketika dilaporkan hilang anak perempuan yang dikenali sebagai Tze Wei hanya memakai baju tidur berwarna merah jambu dan bapanya tidak mendengar sebarang bunyi yang mencurigakan sepanjang malam.

"Anaknya seorang yang rabun namun cermin matanya masih berada di dalam bilik dan barangan lain tidak dibawa sama.

"Telefon bimbit anaknya pula itu tidak mempunyai kad sim sebaliknya digunakan untuk mendengar lagu dan bermain permainan video," katanya.

Bimbang sesuatu yang buruk menimpa anaknya, bapa remaja berkenaan membuat laporan polis dan meminta bantuan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS).

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, selepas menerima maklumat, sepasukan polis dan anjing pengesan K-9 pergi ke rumah mangsa untuk melakukan siasatan.

Mohd Hatta berkata, bantuan dari unit K9 dibuat untuk mengesan mangsa namun gagal mengesan jejak kerana kawasan sekitar rumah berkenaan sudah dilalui oleh ahli keluarganya untuk mencari remaja itu sebelum datang ke balai membuat laporan.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan tidak ada kesan umpil dan pecah masuk dan mengikut keterangan pengadu rumah berkenaan memang tidak berkunci.

"Siasatan awal mendapati pengadu, isteri dan adik lelaki pengadu tidak mempunyai hutang dan masalah dengan mana-mana pihak dan polis masih menyiasat motif kehilangannya," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang daripada jagaan yang sah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.

Menurutnya, remaja berkenaan berkulit cerah, berambut lurus pendek paras bahu dan tinggi kira-kira 152 sentimeter.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat remaja berkenaan diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.