8 sekeluarga nyaris maut dirempuh lori tangki
Kereta yang dinaiki lapan sekeluarga remuk di bahagian belakang selepas dirempuh lori tangki membawa muatan 30,400 liter minyak petrol dan diesel, semalam.
8 sekeluarga nyaris maut dirempuh lori tangki
Lori tangki terbalik mengiring merentangi jalan
KEMAMAN – “Saya lihat lori tangki minyak itu merempuh kereta dari belakang lalu terdengar bunyi dentuman kuat menyebabkan kereta berpusing sementara lori itu pula terhuyung-hayang sebelum terbalik mengiring sebelah kiri.

“Sejurus itu saya tengok pemandu kereta itu melambai-lambai tangan dari tingkap tempat duduk pemandu dan saya segera meluru ke arah kereta mangsa,” kata saksi kes nahas, Ngah Mohamad, 57, yang melihat detik ngeri dialami mangsa lapan sekeluarga apabila kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan minyak, tengah hari, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di kawasan lampu isyarat Bukit Anak Dara, Kilometer 135 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan itu, nyawa mangsa sekeluarga yang terdiri daripada tiga dewasa dan lima kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia kira-kira tujuh bulan itu bagaikan telur di hujung tanduk.

Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit dari arah perjalanan yang sama iaitu dari Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
Tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit memberhentikan kenderaan kerana lampu isyarat merah sebelum dirempuh lori tangki terbabit.

Bagaimanapun, pemandu kereta dan penumpangnya serta pemandu lori terbabit yang berusia 40-an bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan, biarpun kenderaan masing-masing remuk dan rosak teruk.

Keadaan lori tangki terbabit yang terbalik secara mengiring menyebabkan muatan petrol dan diesel sebanyak 30,400 liter tumpah di atas jalan.

Bahagian belakang remuk

Ngah yang juga merupakan pengawal keselamatan di Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) Bukit Anak Dara yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian berkata, sebelum kejadian, dia ke gerai di depan tadika melihat peniaga,
Yazid Ibrahim, 45, memasang atap dan secara tiba-tiba nahas itu berlaku di depan matanya.

“Saya cuba buka pintu tempat pemandu, tapi sebab ia remuk, saya gagal buka lalu saya buka pintu sebelah penumpang depan dan kesemua mangsa yang berada dalam kereta itu keluar dan naik ke atas pengadang jalan.

“Waktu itu saya tengok, kesemua yang duduk di kerusi belakang sudah berhimpit dengan mangsa di depan kerana bahagian belakang remuk,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid berkata, mangsa sekeluarga kemudian dibawa oleh sebuah kereta orang awam yang melalui jalan itu ke Klinik Kesihatan Kijal bagi mendapatkan rawatan.

Lega bayi selamat

Anak Yazid, Mohd Azrul, 18, yang ketika kejadian membantu ibu bapanya berniaga berkata, dia hanya tergamam melihat kejadian itu kerana panik dan pertama kali melihat kemalangan berlaku di depan mata.

“Ketika kejadian, saya lihat lori tangki itu membrek tapi mungkin sebab brek tak kuat, jadi ia tetap langgar kereta itu. Pemandu lori itu saya lihat cedera di bahagian kaki. Saya juga rasa lega apabila lihat bayi keluar dari kereta dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, berikutan nahas itu, tempat kejadian dikawal oleh polis, bomba (jentera Hazmat) dan Jabatan Alam Sekitar.

Bagaimanapun, sehingga jam 5 petang semalam, pemandu lori dan pemandu kereta terbabit masih belum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Sekat minyak daripada mengalir ke sungai
Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairul Hasni Mokhtar berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan kekuatan lima anggota dari Balai Bomba dan
Penyelamat Kerteh serta tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dengan dua jentera termasuk jentera Hazmat.
Menurutnya, bomba membuat benteng bagi menyekat minyak yang tumpah dari mengalir ke dalam sungai.
“Sebelum jentolak tiba di lokasi kejadian untuk membuat benteng tanah, anggota kita menggali telaga agar minyak yang tumpah dapat disekat alirannya,” katanya.
Kejar lampu isyarat
Penduduk tempatan, Shahrin Rashid, 33, berkata, kawasan lampu isyarat berkenaan kerap terjadi kemalangan berikutan sikap orang ramai yang memecut laju apabila lampu isyarat kuning.
“Lampu isyarat hijau yang tidak sampai 10 saat mendorong pengguna memecut dan saya rasa sistem lampu isyarat di sini perlu dinilai semula agar ia tidak terlalu singkat dan mendorong orang ramai memecut,” katanya.