Search This Blog

Monday, July 22, 2013

173 titik panas dikesan di Riau, cetuskan jerebu baharu

JAKARTA 22 Julai - Cuaca berjerebu kembali menyelubungi Riau dan mengurangkan jarak pandangan pada sebelah pagi hari ini kepada sehingga 70 meter di Lapangan terbang Pekanbaru serta 800 meter di Dumai.
Keadaan itu berlaku berikutan meningkatnya bilangan titik panas yang dikesan di Riau kepada ratusan jumlahnya, sekaligus menandakan kebakaran hutan berlaku semula di sejumlah kawasan di wilayah itu.
Keadaan berjerebu itu turut mengganggu aktiviti ketibaan dan perlepasan pesawat di lapangan terbang Pekanbaru, di Riau hari ini.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata sehingga kini pantauan satelit mengesan 173 titik panas di Riau.
Ia termasuk 69 titik panas di Rokan Hilir manakala di Bengkalis (41) Rokan Hulu (sembilan), Siak (20), Dumai (12) dan masing-masing satu titik di Kampar, Pelalawan dan Kepulauan Meranti.
BNPB berkata asap dari kebakaran hutan itu telah menjejaskan dengan teruk kualiti udara di sejumlah kawasan di Riau.
Ketua Pusat Data Maklumat dan Perhubungan Awam BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata bagi mengelakkan bencana jerebu, badan itu telah menyelaraskan bantuan kepada kerajaan Riau dengan menyediakan dua pesawat Hercules C-130 dan empat pesawat Casa untuk operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan buatan.
Operasi pemadaman terus dilakukan dengan menggunakan tiga helikopter Bolco BNPB, dan sebuah helikopter Sikorsky yang mampu mengangkut air 4,500 liter air untuk dijatuhkan di titik api di Riau, katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Peralatan dan anggota tentera juga bersiap siaga untuk dikerahkan jika keadaan memerlukan.
Puncak kebakaran hutan dan tanah gambut ialah pada Ogos hingga Oktober sama ada di Sumatera mahupun di Kalimantan.
Menurut BNPB, 99 peratus daripada kebakaran hutan itu adalah akibat dibakar dan sehubungan itu badan itu telah menggesa pihak berkuasa supaya tegas dalam penguatkuasaan mereka bagi mencegah dan menghentikan perbuatan pembakaran hutan di Indonesia. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130722/lu_16/173-titik-panas-dikesan-di-Riau-cetuskan-jerebu-baharu#ixzz2ZmodcCl5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment