![]() |
Nursuhaila Eliani |
SHAH ALAM 30 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Januari tahun depan untuk perbicaraan permohonan notis tunjuk sebab yang difailkan oleh pelakon dan pengacara Jimmy Shanley terhadap bekas isterinya yang gagal mengikut arahan mahkamah berhubung hak lawatan anak mereka.
Hakim Syarie Mawardi Che Man menetapkan demikian selepas peguam syarie Mohd. Noor Aizan Md. Idrus yang mewakili Jimmy selaku plaintif memaklumkan pihaknya telah menerima afidavit jawapan daripada pihak defendan, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 27.
Sementara itu, peguam syarie Saadiah Din yang mewakili Nursuhaila turut mengesahkan perkara tersebut dan memohon mahkamah menjarakkan tarikh perbicaraan memandangkan anak guamnya mempunyai banyak urusan di luar negara.
Mohd. Noor Aizan seterusnya memohon satu tarikh perbicaraan bagi mendapatkan alasan mengapa defendan melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 8 April lalu.
Pada tarikh tersebut, Hakim Mawardi memutuskan hak jagaan penuh anak perempuan tunggal mereka, Zahrah Rania diberikan kepada Nursuhaila.
Beliau turut memutuskan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu bersama Zahrah Rania yang kini berusia dua tahun.
Mahkamah membenarkan Jimmy mengambil anaknya bermula Selasa sehingga Khamis selain kedua-dua pihak diberi hak bergilir-gilir untuk bersama anak mereka pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Jimmy diberi hak bersama anaknya selama tiga hari bermula hari terakhir Ramadan sehingga hari raya kedua.
Mahkamah juga memerintahkan Jimmy dan Nursuhaila atau pihak ketiga tidak menghalang atau menceroboh hak masing-masing semasa Zahrah Rania berada dalam jagaan mereka.
Bagaimanapun pada 7 Mei lalu, Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 32, memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah komital bagi memenjarakan bekas Nursuhaila, 27, atas dakwaan ingkar perintah mahkamah itu.
Menurut Jimmy, Nursuhaila telah gagal mematuhi perintah mahkamah dengan tidak membenarkannya bermalam dengan anak mereka sebanyak tiga kali.
Nursuhaila kemudian memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan perintah berkenaan.
Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran RM31,186.
Mereka sah bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 10 Oktober tahun lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130731/ma_03/Kes-tunjuk-sebab-bekas-isteri-Jimmy-Shanley-dibicara-20-Januari-tahun-depan#ixzz2adUXAXwM
© Utusan Melayu (M) Bhd