Search This Blog

Friday, June 7, 2013

Tahanan lari dari hospital


Tahanan lari dari hospital
Dibawa ke HTA kerana sakit perut, bergari ketika lolos menerusi tingkap tandas

Pasir Puteh: Seorang tahanan polis yang dirujuk ke wad Hospital Tengku Anis (HTA), di sini, kerana sakit perut melarikan diri melalui tingkap tandas dalam keadaan kedua-dua tangannya bergari, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 32 tahun (gambar) dari Kampung Gelam, di sini, didapati hilang dari tandas itu oleh polis, yang ditugaskan mengawasinya kira-kira jam 4.45 pagi.
Ketika berada dalam wad sebelum itu, suspek dikatakan meminta kebenaran daripada anggota polis yang mengawalnya untuk ke tandas dengan tangannya digari di hadapan.

Dakwa hidap sakit buah pinggang

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Mohd Kamal Zainal, berkata suspek dibawa ke HTA pada jam 4.30 petang kelmarin selepas mengadu sakit perut, selain mendakwa menghidap sakit buah pinggang.

“Suspek dibawa ke Unit Kecemasan untuk rawatan lanjut sebelum ditempatkan dalam bilik khas dilengkapi tandas di wad lelaki.

“Ketika mengadu mahu membuang air besar, polis pengiring menggari kedua-dua tangannya di hadapan sebagai mematuhi prosedur keselamatan.
“Bagaimanapun, polis mengesyaki ada yang tidak kena apabila gagal membuka pintu dari luar selepas suspek terlalu lama berada dalam bilik air,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Mohd Kamal berkata, anggota polis terbabit bergegas ke belakang tandas sebelum mendapati cermin tingkap ditanggalkan, selain beberapa batang besi bengkok dipercayai angkara suspek.

Katanya, suspek giat diburu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di talian 09-7862222 atau balai polis berhampiran.

Beliau berkata, tahanan berbadan kurus, berkulit gelap, bermisai nipis dan memiliki ketinggian kira-kira 154 sentimeter itu, berpakaian lokap polis berwarna ungu.

Suspek ditahan polis 1 Jun lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan berhubung kes mencuri motosikal di daerah ini.

Ada rekod jenayah

“Dia yang bekerja sebagai buruh kontrak turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, manakala ujian air kencingnya positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan sah.

No comments:

Post a Comment