Search This Blog

Sunday, June 9, 2013

Saya hanya ingat mati


Kota Bharu: “Saya hanya ingat mati ketika itu sebelum mencedok air yang melimpah dalam bot sebelum ia tenggelam,” kata nelayan, Mamat Yusuf, 57, yang terselamat dalam kejadian bot karam di Pantai Kemayan, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 11 pagi itu berlaku apabila bot dinaiki Mamat dikatakan mengalami kebocoran akibat terlebih muatan kerana membawa 60 tong berisi ikan gelama yang beratnya mencecah 3,000 kilogram (kg).


Menurut Mamat, sebaik tenggelam, dia sempat berpaut pada bot selama sejam sebelum diselamatkan oleh nelayan lain, Mohd Faizal Abdul Fatah, 28.

Katanya, ia kejadian pertama dan menakutkan buat dirinya yang menjadi nelayan sejak usia muda.


“Saya sebelum ini biasa pulang bersendirian menaiki bot untuk menghantar hasil tangkapan ke darat sementara rakan lain meneruskan kerja memukat ikan.


“Namun kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus turun ke laut mencari rezeki kerana ia menjadi pekerjaan saya sejak dulu,” katanya.

Manakala Mohd Faizal pula berkata, dia secara kebetulan melihat kejadian itu apabila bersama dua adiknya dalam perjalanan untuk menangkap ikan di kawasan sekitar.


Katanya, dia terkejut apabila melihat tiga tong ikan terapung di kawasan terbabit.

“Kami berpatah balik dan cuba mengambil tong berkenaan sebelum menyedari limpahan minyak memenuhi permukaan kawasan berkenaan dan syak ada bot karam.


“Ketika sampai 1.5 batu daripada Pantai Kemayan, saya melihat seorang lelaki melambai-lambai ke arah kami sebanyak tiga kali.


“Apabila tiba, kami dapati dia semakin lemah selain tidak berpakaian dan membawanya ke Pengakalan Kemasin pada jam 1.30 petang,” katanya yang turut disertai dua adik, Mohd Fadli, 25, dan Mohd Firdaus, 10.

No comments:

Post a Comment