Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

Polis berjaya kesan kereta curi


Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah (kanan) melihat cukai jalan pada kereta Proton Waja yang didaftarkan di Thailand selepas sidang akhbar mengenai penemuan semula kereta curi di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar, Perlis, semalam.
PADANG BESAR 13 Jun - Seorang anggota polis menggunakan kemahirannya ketika membuat pemeriksaan ke atas kenderaan sehingga membawa kepada penemuan sebuah kereta curi yang dilaporkan hilang sejak 12 tahun lalu.
Kereta tersebut yang dinaiki sepasang suami isteri warga Thailand ditahan di Pos Imigresen Wang Kelian di sini kira-kira pukul 1.15 petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Tengku Mohd. Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kereta jenis Proton Waja itu dipandu lelaki berusia 46 tahun manakala isterinya berada di sebelah cuba memasuki negara ini dari Thailand.
"Setelah diperiksa, anggota polis berusia lingkungan 30-an tahun itu mendapati dokumen dan kenderaan tersebut mencurigakan walaupun lengkap dengan cukai jalan," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, kata Tengku Mohd. Zailan, polis tidak boleh mendedahkan teknik digunakan oleh anggotanya itu untuk mengenal pasti kereta curi.
Berikutan itu katanya, pasangan tersebut dan kenderaan dinaiki mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut.
"Turut ditemui dalam kereta tersebut adalah barangan dapur seperti minyak masak bersubsidi dan bahan makanan mentah yang dibeli untuk perniagaan.
"Hasil soal siasat, suspek mendakwa membeli kenderaan tersebut di Bangkok tanpa mengetahui kereta itu dicuri di Malaysia," ujarnya.
Katanya, hasil semakan mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang pada 12 Disember 2001 selepas tiga bulan dibeli oleh pemiliknya di Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala suspek dan kenderaan terlibat diserahkan ke IPD Brickfields, Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130614/je_03/Polis-berjaya-kesan-kereta-curi#ixzz2WF1BVdnW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment