Penyamun acu pistol di kepala
Mangsa dikatakan meletakkan kenderaannya di kawasan ini sebelum didatangi empat individu yang melakukan samun.
IPOH – Suasana tenang di sebuah restoran di Jalan Jalan Bijih Timah, Pekan Lama, di sini, semalam bertukar cemas apabila didatangi empat individu yang bertindak mengacukan pistol kepada salah seorang pelanggan restoran berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, dua daripada empat lelaki berkenaan dikatakan menyerbu restoran itu sebelum mendekati seorang lelaki sedang minum yang dipercayai pemborong emas.

Sumber memaklumkan, kumpulan lelaki berkenaan mengacukan pistol ke kepala mangsa dan meminta mangsa menyerahkan kunci kereta yang diletakkan di hadapan restoran itu.

Mangsa yang enggan menyerahkan kunci berkenaan terpaksa akur apabila penjenayah berkenaan bertindak memukul kepala mangsa menggunakan bahagian belakang pistol.

“Suspek kemudiannya bertindak membuka bonet kereta mangsa dan membawa lari beg yang berisi wang tunai dan barang kemas.

“Dua daripada mereka dipercayai datang ke restoran berkenaan menggunakan motosikal, namun melarikan diri menggunakan kereta berikutan penemuan motosikal di Kampung Palong,” katanya.

Siasatan lanjut ke atas nombor pendaftaran motosikal mendapati, ianya nombor pendaftaran palsu, kerugian dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan penemuan motosikal berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, pemilik kedai yang enggan dikenali memaklumkan, dua lelaki mengeluarkan tiga beg yang dipercayai terdapat sejumlah emas sebelum melarikan diri bersama dua lagi penjenayah yang menunggu di luar.

“Pada masa itu saya sedang sibuk dan terkejut secara tiba-tiba dua lelaki bermotosikal meluru masuk ke kedai dan menyerang seorang pelanggan saya.

“Salah seorang daripadanya mengeluarkan pistol dan mengacu kepada mangsa hingga mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari,” katanya.
Saksi kejadian, N Sitiavani, 32, berkata, insiden itu nyata mengejutkan ramai orang termasuk dirinya yang baru sahaja berniaga di restoran berkenaan empat hari lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang sibuk menyediakan makanan kepada pelanggan dan keadaan menjadi cemas apabila orang ramai menjerit setelah melihat lelaki itu mengeluarkan pistol.

“Saya terperanjat apabila orang ramai bertempiaran lari dan ketika saya menoleh saya nampak penjenayah sedang mengacukan pistol ke kepala mangsa dan saya juga bertindak melarikan diri selepas panik dengan situasi berkenaan.

“Saya hanya mampu melihat dari jauh, rompakan itu dilakukan dalam tempoh tak sampai lima minit sebelum keempat-empat penjenayah berkenaan melarikan diri bersama beg berisi barang kemas,” katanya lagi.