Search This Blog

Sunday, June 9, 2013

Penunggang motosikal maut dirempuh lori



8 Jun 2013
BUTTERWORTH - Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan sebuah lori, kereta dan motosikal ditunggang mangsa di Kampung Teluk berhampiran susur masuk ke Butterworth, Sungai Dua di sini semalam.

Dalam kejadian pada 11.16 malam itu, Asmadi Darus, 48, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat dirempuh lori dari arah depan.

Ketika kejadian, Asmadi, yang tinggal di Sungai Dua, dalam perjalanan pulang dari Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaannya berikutan masalah brek ketika melalui kawasan itu.

"Lori itu dari arah Sungai Dua dan dalam perjalanan menghantar barangan ke Butterworth dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan.

"Asmadi terpelanting ke bahu jalan, manakala lori berkenaan merempuh pula sebuah kereta Honda Civic dari arah belakang sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar dinding dapur sebuah rumah di kawasan itu," katanya.

Abdul Rahman berkata kejadian itu menggemparkan pemilik rumah berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Din, 50-an, yang ketika itu sedang menonton televisyen bersama enam anggota keluarga lain.

Beliau berkata bahagian dapur rumah itu mengalami kerosakan kecil manakala semua anggota keluarga Din tidak cedera.

Abdul Rahman berkata kemalangan itu mengakibatkan kesesakan jalan raya selama hampir sejam namun tindakan pantas polis mengawal lalu lintas ketika kerja menyelamat dilakukan anggota bomba berjaya mengawal keadaan.

"Pemandu lori dan kelindannya yang merupakan orang tempatan mengalami kecederaan parah selepas tersepit di bahagian kepala lori yang remuk manakala pemandu kereta Honda Civic hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan secara berbahaya. - Bernama

No comments:

Post a Comment