Maut ketika ambil madu
Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Labis sebelum dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat.
LABIS - Seorang pemungut madu lebah maut apabila terjatuh dari pokok di kawasan hutan Hulu Segamat, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Amran Kangkong, 28, maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah terjatuh pada ketinggian 50 kaki dari pokok yang dipanjatnya dalam kejadian jam 11 malam.

Mangsa yang tinggal di Kampung Orang Asli Ulu Juaseh difahamkan bertolak ke hutan tersebut bersama 14 rakannya pada jam 11 pagi dan berhenti rehat seketika pada jam 6 petang.

Menurut rakan mangsa, Hamzah Silam, 32, selepas berehat, dia dan rakan-rakannya yang lain meneruskan perjalanan jam 9 malam sebelum sampai ke lokasi yang dituju.

“Bila sampai saja ke pokok tersebut, kami terus panjat dan arwah adalah orang yang ketiga memanjat pokok itu yang menempatkan 27 sarang lebah.

“Kami memanjat melalui kayu yang telah dipaku pada pokok besar itu dan kami akan menggunakan rotan ketika memanjat,” katanya.

Katanya, ketika berada pada ketinggian 50 kaki dari tanah, rotan yang mengikat kayu pada pokok tersebut putus dan menyebabkan kayu yang menjadi tempat memijak arwah patah mengakibatkannya terjatuh serta merta.

“Akibat terkejut dengan kejadian itu, kami semua terus turun dari pokok. Tiga orang daripada kami keluar dapatkan bantuan sementara yang lain usung mayat arwah untuk dibawa keluar,” katanya.

Hamzah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, tambahan pula keadaan sekitar yang gelap menyebabkannya tidak nampak dengan jelas peristiwa yang berlaku.

“Apa yang pasti rotan dan kayu yang menjadi tempat arwah berpaut telah patah. Saya dan rakan-rakan ambil masa hampir enam jam untuk mengeluarkannya.

“Selepas ini mungkin kami akan berhenti sementara melakukan pekerjaan ini kerana masing-masing sedih dan trauma,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Noraini, 36, berkata, dia terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengan adiknya kerana tinggal di Muar.

“Kali terakhir saya berjumpanya dua minggu lalu ketika pulang ke kampung dan ketika itu tidak ada sebarang perubahan ditunjuknya.

“Cuma ketika itu dia sangat mesra dengan anak-anak saya dan anak saudaranya yang lain kerana sebelum ini arwah biasa-biasa saja dengan mereka,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat setelah laporan dibuat di Balai Polis Labis.

Usaha membawa keluar mangsa mengambil masa enam jam berjalan kaki berikutan tiada kenderaan yang boleh masuk ke kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian.