Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

Kanak-kanak dua tahun jadi mangsa dera diselamatkan

KUALA TERENGGANU 12 Jun - Keberkesanan talian Nur yang dilaksanakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) harus dipuji apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya berjaya diselamatkan tengah malam Ahad lalu.
Kanak-kanak itu ditemui sepasukan pegawai JKM dan anggota polis yang menyerbu sebuah rumah di Cendering dekat sini selepas menerima panggilan melalui Talian Nur daripada seorang individu melalui talian tersebut.
Difahamkan, kanak-kanak itu ditemui sedang berjalan dalam keadaan kakinya terhenjut-henjut, dipercayai cedera akibat terkena objek panas lebih seminggu lalu.
Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan serbuan itu dilakukan susulan laporan yang diterima pihaknya menerusi talian Nur JKM.
Katanya, selepas mendapat maklumat, pihaknya dengan bantuan polis menyerbu rumah tersebut dan menemui kanak-kanak terbabit sebelum bertindak menghantarnya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini untuk mendapatkan rawatan ekoran kecederaan dialami.
"Kes ini telah diserahkan kepada polis untuk siasatan dan menahan suspek terlibat. Ketika ini, pihak JKM masih menunggu laporan perubatan kanak-kanak berkenaan untuk mengetahui status sebenar insiden tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, menurut sumber, ketika kanak-kanak berkenaan ditemui, mangsa ada memaklumkan bahawa kecederaan yang dialaminya disebabkan oleh perlakuan seorang lelaki yang juga rakan ibunya.
Jelas sumber itu lagi, kanak-kanak tersebut mengadu cedera di beberapa bahagian anggota badan lain, bagaimanapun ibunya enggan membawanya ke hospital tetapi hanya membalut luka yang dialami dengan sehelai kain.
"Kaki kanak-kanak itu juga kelihatan kehitaman dan berbau busuk. Pihak hospital mengesahkan kecederaan yang dialami memang disebabkan oleh objek panas," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130613/je_03/Kanak-kanak-dua-tahun-jadi-mangsa-dera-diselamatkan#ixzz2W46e0tSC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment