Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

Drebar nyawa panjang


Alor Gajah: Seorang pemandu bas ekspres yang sedang memeriksa kerosakan pada enjin kenderaan dipandunya nyaris maut apabila dirempuh sebuah lori sejuk beku di Kilometer 193.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, K Aridas, 46, yang berada di bahagian belakang enjin bas dikatakan sempat melompat ke tebing selepas menyedari kehadiran lori berkenaan dari arah sama.


Difahamkan, pemandu lori, Sudirman Mohd Yatim, 30-an, hilang kawalan lalu merempuh bahagian kanan belakang bas itu menyebabkan bas berkenaan bergerak sejauh 15 meter.

Bas berkenaan membawa 14 penumpang dan seorang pemandu kedua dipercayai dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.


Menurut Aridas, dia memberhentikan bas di lorong kecemasan dan sudah menghidupkan lampu kecemasan sebelum memeriksa dan meletakkan kon.


“Bas terpaksa berhenti sebentar di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Bemban kerana mengalami kerosakan dan sudah dibaiki sebelum rosak kali kedua.

“Ketika melakukan pemeriksaan di belakang bas, terdetik hati saya untuk menoleh dan tergamam apabila melihat lori berkenaan semakin hampir lalu merempuh bas. “Saya pula tanpa berfikir panjang terus melompat ke tebing curam untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, akibat rempuhan itu, beberapa penumpang yang berdiri untuk turun ke tebing terpelanting atas lantai manakala rakan sekerjanya, S Marimuthu, 48, yang tidur di tempat duduk paling belakang cedera ringan di kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

No comments:

Post a Comment