Buruh ditemui tergantung
Mayat Alfian dibawa menaiki kenderaan polis ke Hospital Melaka.
KLEBANG - Seorang buruh binaan ditemui mati tergantung dalam sebuah rumah berkembar yang masih dalam pembinaan di Taman Limbongan Indah, Limbongan, di sini semalam.

Mangsa dikenali sebagai Alfian, 37, ditemui dalam keadaan tergantung menggunakan kabel wayar elektrik diikat pada bumbung oleh seorang pekerja pembinaan di situ, kira-kira 10.25 pagi.

Menurut sumber,  buruh binaan di tapak itu ditemui tergantung di tingkat atas rumah berkembar tiga tingkat berkenaan oleh pekerja lain ketika mahu memulakan kerja.

“Selain tergantung menggunakan kabel wayar elektrik diikat di bumbung, tangga juga dijumpai disandarkan pada dinding berhampi-ran mayat mangsa.

“Terkejut melihat keadaan itu, rakan sekerjanya kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak penyelia tapak pembinaan sebelum memaklumkannya kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Muhammad Koey Abdullah berkata, ketika ditemui mangsa berpakaian kemeja dan berkain sarung.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan tiada kesan pergelutan di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.