Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

‘Bersiar ambil angin malam’


Ipoh: Seorang ahli geng curi besi yang diberkas polis di Taman Permata Bercham, di sini, memberi alasan tidak munasabah apabila mendakwa bersiar-siar mengambil angin malam ketika dicekup cuba melarikan batang besi di kawasan itu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, suspek bersama seorang lagi rakan cuba melarikan batang besi milik penduduk di kawasan perumahan di sini tanpa menyedari tindak-tanduk mereka diperhatikan.


Seorang anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan perumahan itu dikenali sebagai Leong, 45, berkata, beberapa anggota KRT yang melihat perbuatan mencurigakan lelaki itu bersama seorang rakannya segera menghubungi polis.

“Sebaik melihat kehadiran anggota polis, kedua-dua lelaki itu cuba melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas,” katanya.


Menurutnya, lelaki berusia 30-an itu dikesan anggota KRT berkeliaran menaiki motosikal di kawasan itu dalam keadaan mencurigakan sejak jam 9.30 malam kelmarin.


“Malah, dia turut dilihat menceroboh masuk kediaman seorang warga emas sebelum melarikan beberapa batang besi dari kediaman itu,” katanya.

Katanya, polis merampas motosikal lelaki itu dan besi dilarikan mereka.


“Kami yakin penjenayah individu bertanggungjawab melakukan beberapa kes kecurian sekitar kawasan ini sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kes berkenaan masih disiasat dan polis memuji tindakan pantas anggota KRT yang segera menghubungi polis serta memberi kerjasama membanteras jenayah di kawasan kediaman mereka.

No comments:

Post a Comment