Search This Blog

Thursday, June 13, 2013

Artifak dalam laut dirompak

KUALA LUMPUR 12 Jun - Jabatan Warisan Negara (JWN) mendedahkan bahawa ada sindiket terancang yang mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit hasil tinggalan kapal-kapal yang tenggelam di perairan negara menyebabkan Malaysia kerugian besar dari segi hasil sejarah dalam laut.
Barang peninggalan termasuk emas dan berlian menjadi rebutan sindiket ini sekurang-kurangnya daripada 67 kapal dagang dan kapal perang lama yang tenggelam di kawasan perairan negara di Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Pahang.
Pegawai Warisan bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi berkata, koleksi artifak daripada kapal karam atau kargo, emas, berlian dan barang berharga yang lain itu dicuri untuk dijual di pasaran gelap atau dijadikan koleksi peribadi.
“Di perairan Melaka sahaja terdapat 35 buah kapal yang tenggelam.
“Jika dikira dengan jumlah sedia ada sebenarnya tapak kapal karam di Malaysia lebih pada yang direkodkan kerana setiap masa ada saja laporan penemuan kapal karam baharu di negara ini," katanya kepada Bernama.
Menurut Jabatan Muzium, antara kapal lama yang tenggelam di perairan negara ialah kapal Nassau milik Angkatan Laut Belanda, pada 16 Ogos 1606 berhampiran kawasan yang dikenali Bambek Shoal, lima kilometer dari luar pantai Port Dickson ketika berperang dengan Portugis.
Dalam peperangan itu, Belanda kehilangan dua kapal iaitu Nassau dan Middleburg, manakala Portugis kehilangan kapal San Salvador dan Don Duarte De Guerra.
Berdasarkan eskavasi arkeologi maritim, tinggalan kapal Nassau berjaya dijejaki sekali gus menemui sebanyak 5,000 artifak seperti senapang besi dan gangsa, dua sauh besi, peluru plumbum, seramik dari Eropah Utara, tempayan martaban dari Asia Tenggara dan barangan piuter.
Sebuah lagi kapal, Royal Nanhai yang temui pada tahun 1995 dipercayai sebuah kapal Diraja dari China yang karam pada 1460 dan ditemui di perairan antarabangsa kira-kira 40 batu nautika dari timur Semenanjung Malaysia pada kedalaman 46 meter.
Kapal yang berukuran 28 meter panjang dan 8 meter lebar ini didapati karam apabila menjalankan tugas khas membawa barangan Diraja ke Melaka seperti kotak laker berwarna hitam, chop menteri daripada gangsa dengan pemegangnya berbentuk gajah dan mangkuk seramik China berwarna biru dan putih, yang dipercayai berasal daripada pemerintahan Jingtaij Tienshun antara tahun 1450 dan 1464.
Ruzairy berkata, pihaknya sering menerima maklumat dan laporan daripada nelayan serta pencari harta karun bahawa berlakunya "penjarahan" atau kecurian artifak di kawasan perairan Labuan, perairan Kudat, Balambangan dan Mantanani, Perairan Melaka hingga ke Tanjung Tuan.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah kes melibatkan kecurian itu pada tahun lepas dan tahun sebelumnya.
"Nilai sesuatu artifak yang terdapat dalam sesebuah kapal karam lebih diukur melalui bukti sejarah dan kepentingan terhadap persejarahan negara daripada nilai komersil. Semakin lama dan sukar artifak itu maka nilai komersilnya lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, kapal karam dan artifaknya merupakan sumber data negara yang penting bagi membuktikan kewujudan sebuah pelabuhan entrepot terulung dan perdagangan maritim empayar Melaka (1278- 1511)di perairan Melaka.
Katanya, JWN dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) sentiasa bersiap sedia dan peka pada setiap laporan yang diterima bagi menghalang sebarang pencerobohan atau aktiviti pencurian kapal karam bersejarah.
“Kami juga meminta APMM supaya menyoal dan menangkap sesiapa sahaja yang cuba menjalankan aktiviti menyelam di kawasan yang bukan kawasan rekreasi skuba atau mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh JWN untuk kerja meninjau dan mengambil barangan artifak itu," katanya.
Menurut Ruzairy, khazanah dan artifak kapal karam bersejarah dilindungi melalui Akta Warisan Kebangsaan 2005 iaitu warisan kebudayaan di bawah air bagi mengelak sebarang pencerobohan dan kecurian.
“Jabatan Warisan Negara juga telah mewartakan empat tapak di Perairan Tanjung Tuan, Perairan Pulau Upeh-Pulau Besar, Pulau Tioman dan Labuan sebagai "zon yang dilindungi" kerana kawasan itu banyak terdedah kepada kecurian artifak," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130613/je_04/Artifak-dalam-laut-dirompak#ixzz2W49dfbtW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment