6 maut bangunan runtuh
Keadaan bangunan empat tingkat yang runtuh, kelmarin.
WASHINGTON - Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dan 13 cedera selepas sebuah bangunan setinggi empat tingkat runtuh di pinggir bandar Philadelphia, Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Dipetik AP, Datuk Bandar, Michael Nutter berkata, kejadian membabitkan bangunan berdekatan stesen utama kereta api dalam bandar berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi waktu tempatan.

"Sehingga kini, punca kejadian masih belum dipastikan dan pasukan bomba dan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang dipercayai masih selamat di bawah runtuhan bangunan," katanya.

Beliau berkata, mangsa pertama yang dikeluarkan adalah seorang wanita berumur 35 tahun dan disahkan maut di tempat kejadian.

"Seorang warga tua berumur 66 tahun yang masih hidup di bawah runtuhan, dilaporkan semakin kritikal selepas terperangkap lebih dua jam," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat berterusan selama 24 jam dan turut dibantu orang awam yang bertindak memindahkan sisa runtuhan bagi memudahkan pencarian mangsa.