Search This Blog

Sunday, June 9, 2013

28 warga emas cemas rumah kebajikan terbakar


Klang: Seramai 28 warga emas yang bersiap sedia untuk menonton berita jam 8 malam dikejutkan dengan kepulan asap dari kawasan belakang Pusat Kebajikan Warga Emas di Jalan Solok Tamarind, Southern Park, di sini, malam kelmarin.

Penyelia pusat itu N Yogeswaran berkata, kejadian disedari ibunya Nanthan Yogarani, 61, sebelum dia mengarahkan semua penghuni berusia antara 45 hingga 85 tahun menyelamatkan diri.


Yogeswaran berkata, dia cuba memadamkan api daripada marak menggunakan tiga pemadam api, namun gagal akibat keadaan cuaca yang berangin sebelum mengambil keputusan menyelamatkan semua penghuni rumah itu.

Katanya, majoriti penghuni iaitu orang kelainan upaya (OKU), pesakit strok dan kurang berkemampuan dikeluarkan dengan bantuan jiran di kawasan berdekatan.


“Selepas ibu memaklumkan terlihat kepulan asap di belakang, saya berlari ke tempat pemadam api untuk cuba mengawal api daripada terus merebak. Bagaimanapun, api cepat marak dan kami dibantu jiran tetangga untuk membawa keluar penghuni,” katanya.


Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja A Romzi Ab berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.24 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, api berjaya dikawal dalam tempoh 40 minit sebelum padam sepenuhnya jam 11.30 malam.


“Seramai 15 anggota dikerah ke lokasi kejadian bersama sembilan jentera membabitkan tiga tangki air dan enam ‘Fire Rescue Tender’ (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Kota Raja.

“Kami masih menyiasat punca kebakaran, namun tidak menolak ia berpunca daripada pendawaian elektrik yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya.


Romzi berkata, anggaran kerugian adalah RM300,000 dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

No comments:

Post a Comment