Search This Blog

Tuesday, May 21, 2013

Perompak loghat utara




Nilai: “Perompak itu cuba berkomunikasi menggunakan loghat utara seolah-olah berlagak orang tempatan, namun saya tahu mereka ialah warga asing,” kata adik ipar kepada pegawai tertinggi polis di Bukit Aman selepas kediamannya di Mantin, di sini, dipecah masuk lima perompak bersenjatakan parang menyebabkan kerugian lebih RM50,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, kontraktor dan isterinya berusia 51 tahun yang juga adik kelima kepada pegawai itu bersama dua anak berusia 17 dan 22 tahun turut diacu dengan parang sebelum diikat menggunakan dawai. Mangsa yang mahu dikenali sebagai Mohd, 56, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri tidur sebelum tiba-tiba anak lelakinya mengetuk pintu bilik tidur.


“Sebaik membuka pintu bilik, saya terkejut seorang daripada perompak itu bertindak mengacukan parang dan meminta saya diam.

“Perompak itu mengikat kedua-dua tangan saya dan meminta wang serta pelbagai barangan berharga manakala isteri hanya duduk diam di atas katil dalam keadaan menggigil,” katanya.


Menurutnya, penjenayah itu mengambil masa lebih satu jam menggeledah rumah mereka sebelum melarikan diri dengan pelbagai barangan berharga termasuk telefon bimbit, komputer riba, sejumlah wang tunai dan barangan kemas bernilai lebih RM50,000.


“Seorang daripada mereka memegang penyapu dan mengawasi kami manakala empat yang lain sibuk menggeledah. “Perompak itu hanya mengeluarkan tiga perkataan iaitu ‘steady’, ‘cool’ dan diam,” katanya yang bersyukur keluarganya tidak dicederakan dalam kejadian itu. Sumber polis berkata, ketika kejadian pasangan itu tidur sebelum pintu bilik mereka diketuk.

Katanya, apabila mangsa membuka pintu, lima lelaki bertopeng menyerbu masuk dan terus mengacukan parang di kepala suami wanita itu.


“Hasil siasatan awal, kami mendapati, suspek memotong pagar dan jeriji besi tingkap di belakang rumah untuk masuk ke dalam kediaman mangsa.

“Sebaik memasuki rumah, suspek kemudian mengikat tangan pasangan itu sebelum mengurung empat beranak berkenaan dalam sebuah bilik,” katanya di sini, semalam. Katanya, semua suspek dipercayai warga asing menggeledah rumah mangsa lebih sejam sebelum melarikan diri menggunakan kereta diparkir di luar rumah.


“Selepas semua suspek melarikan diri mangsa kemudian dapat membuka ikatan sebelum menghubungi pihak polis untuk meminta bantuan,” katanya.


Kata sumber lagi, semua mangsa tidak diapa-apakan oleh penjenayah berkenaan tetapi masih trauma dengan kejadian itu.


“Buat masa ini kami sedang mengesan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.


Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kes itu namun enggan mengulas lanjut.

No comments:

Post a Comment