Search This Blog

Tuesday, May 21, 2013

Pengawal PLKN ditahan



Melaka: Seorang pengawal keselamatan di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putera Puteri, Alor Gajah, dekat sini, ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan lebih 200 telefon bimbit milik pelatih kem itu, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, suasana gempar apabila semua alat komunikasi disimpan dalam sebuah kabinet di pejabat kem itu didapati dipecahkan pihak tidak bertanggungjawab.


Menyedari keadaan itu, pihak pengurusan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Ketua Polis negeri Datuk Chuah Ghee Lye berkata, bertindak atas laporan itu, pihaknya memberkas seorang pengawal keselamatan berusia 40 tahun yang bertugas di kem itu, kelmarin.

“Siasatan awal mendapati nilai kerugian kehilangan semua telefon bimbit terbabit dianggarkan kira-kira RM57,000.


“Pengawal keselamatan itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.


Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh kes berkenaan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk bangunan,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semua pelatih perlu menyerahkan telefon bimbit mereka kepada jurulatih kem itu untuk disimpan pada Isnin sebelum ia diserahkan semula pada Sabtu.


Pengawal keselamatan yang ditahan dipercayai individu sama melaporkan kejadian itu dan ditahan polis kerana berkelakuan mencurigakan.

No comments:

Post a Comment