Search This Blog

Tuesday, May 21, 2013

Misi buru penembak ganas



PULAU PINANG 20 Mei - Polis negeri ini menubuhkan satu pasukan khas dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membanteras kes jenayah membabitkan senjata api yang semakin menjadi-jadi di negeri ini.
Pasukan khas tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah.
Hasil penubuhan pasukan berkenaan, beberapa suspek yang terlibat dalam jenayah berkenaan telah dikenal pasti berdasarkan petunjuk baharu dalam beberapa kes tembak baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 12 kes tembak dicatatkan di negeri ini.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes melibatkan tembak mati, lima kes mangsa cedera dan sembilan lagi penggunaan senjata api.
"Saya ingin ingatkan agar jangan cabar polis. Ini bukan bandar koboi yang boleh buat sesuka hati malah pihak polis amat serius dalam hal ini.
"Kita sudah kenal pasti penjenayah terbabit dan tindakan segera akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat berikutan tindakan mereka menimbulkan kegusaran kepada orang awam," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rahim, pihaknya membuat permohonan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang supaya menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan panas bagi membendung jenayah.
"Kerajaan negeri pun telah meluluskan permintaan kita. Kita masih menunggu laporan daripada ketua polis daerah masing-masing untuk menamakan lokasi bagi menempatkan CCTV itu," ujarnya.
Menurutnya, di sekitar Georgetown terdapat 28 CCTV dan permohonan terbaru adalah untuk kawasan di Seberang Perai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130521/je_02/Misi-buru-penembak-ganas#ixzz2Tw4Ua3nS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment