Dua beradik cedera dibelasah
Lokasi mangsa dan kakaknya dipukul dua lelaki tidak dikenali.
ALOR GAJAH - Dua beradik cedera selepas dibelasah dua lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan ke tempat kerja bersama seorang pekerja di persimpangan lampu isyarat Rembia, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 22 dan 27 tahun dikatakan sedang menaiki kereta jenis Proton Persona, dalam perjalanan dari tempat kerja di pekan ini.

Jurucakap polsi berkata, kereta mangsa yang turut dinaiki seorang pekerja berusia awal 20-an dipintas sebuah kereta Proton Gen 2 bercermin gelap dinaiki dua lelaki.

Menurutnya, mangsa sebenarnya sudah menyedari kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan dalam jarak 50 meter berada tidak jauh di belakang.

"Mangsa cuba memperlahankan kenderaannya untuk memberi laluan kepada kereta di belakangnya, namun kereta itu tetap mengekorinya,” katanya. 

Beliau berkata, setibanya di persimpangan lampu isyarat pekan Rembia, kereta berkenaan secara tiba-tiba memintas kereta mangsa dan menghalang laluannya.

"Dua lelaki turun dari kereta dan membuka pintu serta merampas kunci kereta mangsa sebelum menariknya keluar.

"Dua lelaki itu kemudiannya menumbuk muka dan kepala mangsa menggunakan. Bimbang mangsa terus dibelasah, kakaknya cuba meleraikan pergelutan, namun ditolak lelaki berkenaan sehingga terjatuh sebelum mukanya turut ditumbuk," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jurucakap itu berkata, mangsa berusia 27 tahun yang cedera di mulut cuba meminta tolong tetapi tiada yang membantu.  "Dua lelaki itu turut mencampak kunci kereta mangsa tidak jauh dari tempat kejadian sebelum masuk ke dalam kereta dan melarikan diri.

"Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan bengkak di bahagian muka manakala kakak mangsa yang cedera di mulut mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah," katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang bimbang akan keselamatan diri dan kakaknya membuat laporan di Balai Polis Rembia sejurus kejadian terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.