Search This Blog

Tuesday, May 21, 2013

Belasahan cemburu



Petaling Jaya: Angkara cemburu buta, seorang wanita bukan saja dibelasah teman lelakinya, malah turut dikurung dalam rumah disewanya di Damansara Damai, di sini, sebelum diselamatkan rakan dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan bertengkar dengan kekasihnya itu kerana lelaki terbabit tidak suka mangsa berkawan dengan orang lain kira-kira jam 4 pagi.


Menurut sumber, lelaki terbabit tanpa belas kasihan memukul dan menyepak mangsa walaupun wanita berkenaan merayu berkali-kali supaya tidak diperlakukan sedemikian.

“Selepas dibelasah mangsa kemudian ditinggalkan sendirian manakala lelaki terbabit keluar, namun sempat mengunci pintu rumah sewa mangsa dan tidak membenarkannya keluar.


“Bagaimanapun, mangsa dapat menghubungi rakannya menerusi SMS dan meminta bantuan untuk keluar dari rumah.


“Rakan mangsa tiba di rumah sewa itu kira-kira jam 5 petang dan membantu mengeluarkan mangsa sebelum mangsa bersembunyi di rumah jiran,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, teman lelaki mangsa mengetahui mangsa bersembunyi di rumah jiran dan datang ke rumah itu untuk mengambil mangsa.


“Mangsa sekali lagi dikurung dalam rumah sewanya dan dibelasah, malah kali ini lebih teruk apabila turut dipijak dan disebat menggunakan tali pinggang.

“Perbuatan lelaki terbabit turut disaksikan rakan mangsa, namun tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu kerana lelaki terbabit mengunci pintu rumah,” katanya.


Sumber berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan sebelum mangsa berjaya diselamatkan kira-kira jam 8 malam.


“Mangsa mendakwa sudah mengenali teman lelakinya itu sejak setahun lalu dan dalam tempoh itu, dia mengaku empat kali dipukul lelaki terbabit.


“Kali ini mangsa teruk dibelasah dan akibat tidak tahan lagi menanggung kesakitan, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara kerana bimbang teman lelakinya mengulang perbuatan sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment