Search This Blog

Tuesday, May 21, 2013

20 kali telefon tak berjawab




Kuala Terengganu: “Lebih 20 kali saya telefon anak tetapi tidak berjawab, sedangkan sebelum ini dia tidak pernah tidak menjawab panggilan menyebabkan saya mengesyaki rasakan ada benda pelik berlaku,” kata Zakiah Mahmud, 60, ibu Hasbullah Abdul Ghani, 26, yang maut dalam kemalangan berhampiran susur Ukay Perdana di Jalan Lingkaran Tengah II, Ampang kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Turut meninggal dunia dalam kemalangan itu isteri Hasbullah, Nurul Intan Shahida, 22, dan dua sepupunya, Tengku Ahmad Faiz Tengku Muhamad, 28, dan Asma Ismail, 22.


Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Satria dari Bukit Antarabangsa menghala ke Kuala Lumpur mengalami kerosakan brek ketika menuruni bukit dan merempuh kereta Perodua Viva dinaiki keempat-empat mangsa.

Zakiah berkata, dia menelefon anak bongsu daripada dua beradik itu kira-kira jam 5.30 petang kelmarin untuk bertanya lokasi mereka namun tidak dijawab, malah usaha menghubungi menantu, Nurul Intan dan dua anak saudara, Tengku Ahmad Faiz dan Asma, 22, juga gagal.


Katanya, kira-kira jam 8 malam, seorang wanita menghubunginya menggunakan telefon anaknya memberitahu supaya beristighfar serta meminta dia datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mengetahui keadaan Hasbullah yang terbabit dalam kemalangan.


“Selepas mendapat panggilan itu, saya menelefon anak sulung, Norizawati yang bekerja di Kuala Lumpur, memintanya ke HKL bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Mengikut cerita Norizawati, keadaan arwah dan isterinya sangat menyedihkan serta cedera di beberapa bahagian badan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Losong Datuk Amar, di sini, semalam.


Menurut suri rumah itu, arwah anaknya yang bekerja sebagai pemandu lori baru setahun berkahwin dengan Nurul Intan yang bekerja sebagai pembantu jualan sebuah pasar raya di sini.

Katanya, mereka ke Kuala Lumpur Khamis lalu dan sepatutnya pulang ke Terengganu, kelmarin.


“Hasbullah suka bergurau tetapi sejak seminggu lalu, dia pendiam. Ketika hendak ke Kuala Lumpur baru-baru ini, dia hanya memandang muka saya serta tidak bersalam seperti kebiasaannya apabila meninggalkan rumah.


“Nurul yang baru sebulan hamil, juga pendiam dan tidak bersalam dengan saya ketika hendak ke Kuala Lumpur,” katanya.


Sementara itu, Sobah Mahmud, 57, ibu kepada Tengku Ahmad Faiz berkata, anaknya yang mengusahakan pusat mencuci kenderaan di Jalan Kamaruddin di sini, periang dan mesra dengan anak saudaranya selain aktif dengan aktiviti luar antaranya menjadi Naib Presiden Kelab Savvy Terengganu.


Katanya, dia hanya mengetahui anak keenam daripada tujuh beradik itu terbabit dalam kemalangan selepas berasa tidak sedap hati melihat berita kemalangan maut di televisyen sebelum dimaklumkan anaknya, Tengku Bahrizal Izani, 40, yang tinggal di Ukay Perdana, Ampang.


“Biasanya arwah sentiasa bersalam dengan saya setiap hari hendak keluar rumah, tetapi Khamis minggu lalu, dia tidak bersalam dengan saya,” katanya.


Jenazah empat mangsa terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim, Jalan Pusara, di sini, malam tadi.

No comments:

Post a Comment