Mangsa terbaring
Mangsa terbaring akibat cedera dipukul dua individu tidak dikenali.
SKUDAI – Ceramah sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) anjuran DAP di Taman Skudai Baru, dekat sini, malam kelmarin, dicemari dengan insiden tidak diingini apabila seorang ahli kempen parti itu cedera dipukul.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, Steven Tai, 18, berasal dari Kedah yang juga seorang ahli kempen kepada calon DAP kerusi Dun Senai, Wong Shu Qi, cedera.

Menurut Shu Qi, sejurus selesai menyampaikan ceramah yang turut membabitkan beberapa pemimpin DAP lain termasuk Ketua Publisiti parti itu, Tony Pua, dia dimaklumkan Steven terbaring akibat dipukul kira-kira 100 meter dari lokasi ceramah.

“Sebelum insiden Steven sempat memaklumkan dia mahu mengambil angin dan pergi ke sebuah kedai untuk membeli minuman bersendirian.

"Sebaik mendapat berita, saya terus bergegas ke lokasi tempat Steven dipukul kerana bimbang dia mengalami kecederaan serius.

“Ketika tiba di lokasi terbabit, Steven masih tidak berupaya untuk bangun kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, perut dan belakang.

"Daripada ceritanya, dua lelaki tiba-tiba datang menyerang dan terus mengheretnya ke tempat gelap,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, disebabkan mangsa berjalan bersendirian selain lokasi kejadian agak gelap dan tersorok, tiada saksi yang dapat memberikan sebarang maklumat berhubung insiden menimpa Steven.

Mangsa juga mengakui tidak dapat mengecam identiti dua lelaki itu kerana terkejut tiba-tiba diserang.

Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, Steven dibenarkan pulang dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Saya tidak mahu membuat sebarang andaian untuk mengaitkan kejadian ini bermotifkan politik walaupun ia berlaku ketika kami sedang mengadakan ceramah. Saya serahkan kepada polis untuk membuat siasatan,”katanya.

Satu laporan dibuat mangsa berhubung kejadian itu di Balai Polis Skudai, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan menerima laporan itu dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.