Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Tujuh remaja termasuk empat pelajar aktif curi motosikal diberkas



KOTA TINGGI 15 April - Tujuh remaja termasuk empat yang masih bersekolah ditahan polis kerana disyaki aktif dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini.
Penahanan ketujuh-tujuh suspek berusia 13 hingga 18 tahun itu turut berjaya menyelesaikan lima kes kecurian motosikal yang dilaporkan sebelum ini.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, dalam tangkapan pertama kira-kira pukul 12.40 tengah malam pada 29 Mac lalu, pihaknya telah menahan tiga suspek berusia 16 hingga 18 tahun di hadapan kafe siber di Taman Hijrah di sini.
"Hasil siasatan lanjut, polis kemudian memberkas empat lagi rakan mereka berusia 13 hingga 17 tahun yang dipercayai bersubahat dengan kes curi motosikal.
"Berdasarkan maklumat suspek, polis berjaya menemukan dua motosikal jenis Yamaha 125Z dan Yamaha Lagenda serta beberapa komponen motosikal yang telah dileraikan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sini semalam.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil penubuhan pasukan khas pada akhir Februari lalu dan setakat ini, polis daerah itu sudah berjaya menyelesaikan kes curi motosikal melibatkan kumpulan atau individu.
Mohd. Nor berkata, tangkapan kes curi motosikal yang dibuat hampir setiap minggu merupakan salah satu usaha pihaknya untuk meyakinkan masyarakat bahawa polis sentiasa menjalankan tugas dengan baik, selain mampu menghapuskan rasa takut orang ramai terhadap jenayah.
"Memandangkan kesemua suspek baru pertama kali melakukan kes jenayah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, maka kita benarkan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan dan ia disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor," katanya.
Dalam kejadian berasingan, Mohd. Nor berkata, pihaknya berjaya memberkas lima suspek yang disyaki terlibat dalam tiga kes kecurian motosikal di kawasan lain iaitu Setia Indah, Johor Jaya dan Pasir Gudang dekat sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130416/je_05/Tujuh-remaja-termasuk-empat-pelajar-aktif-curi-motosikal-diberkas#ixzz2Qa6FFtlC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment