Tinggal nota mohon maaf
Mohd Faizal menunjukkan dokumen perjalanan pembantu rumah yang berada dalam simpanannya.
ALOR GAJAH - Seorang majikan menanggung kerugian lebih RM50,000 selepas pembantu rumahnya melarikan diri sebelum meninggalkan nota memohon maaf dalam kejadian sekitar daerah ini, kelmarin.

Pembantu rumah berkenaan, Shella Afriani, 18, berasal dari Batam, Indonesia dikatakan baru dua minggu bekerja di rumah majikannya melarikan wang tunai RM5,000, seutas rantai emas dan gelang tangan, sehelai jaket berjenama, sepasang kasut dan telefon bimbit.

Mangsa, Mohd Faizal Md Nasir, 34, berkata, dia menyedari kehilangan pembantu rumahnya itu kira-kira jam 6 pagi selepas melihat pintu belakang rumah terbuka sementara ahli keluarga lain masih tidur.

Menurutnya, ketika kejadian pembantu rumahnya itu tidur di sebelah ibunya di ruang tamu namun tidak menyedari bila gadis itu melarikan diri.

"Sebaik terjaga, suasana jadi kecoh dan saya terkejut apabila melihat RM5,000 yang diletakkan di bilik sudah hilang termasuk sehelai jaket berjenama yang dihadiahkan oleh isteri serta sepasang kasut," katanya dekat sini, semalam.

Mohd Faizal berkata, pembantu rumahnya itu turut melarikan gelang tangan dan rantai leher milik ibunya yang diletakkan dalam almari.

"Seminggu selepas bekerja, Shella ada memberitahu hendak pulang ke Indonesia dengan alasan ibunya sedang sakit namun kejadian itu dinafikan keluarganya ketika dihubungi agen.

"Saya ada menegur sikapnya itu kerana menipu dan tindakannya melarikan diri menimbulkan tanda tanya kerana kami tidak pernah mengasarinya malah menganggap seperti keluarga sendiri," katanya ketika ditemui.

Mohd Faizal yang juga pegawai kanan Pejabat Tanah dan Galian Negeri berkata, dia mengambil pembantu rumah itu menerusi agen di Batu Pahat, Johor dengan perjanjian akan diberikan seorang pembantu rumah berusia 35 tahun namun tiada dan digantikan dengan pembantu rumah berusia 21 tahun.

“Tetapi selepas diselidik latar belakang pembantu rumah berkenaan rupanya baru berusia 18 tahun dan difahamkan sudah dua bulan berada di sini.

"Saya syak dia masih berada di sekitar Johor memandangkan bapanya ada bekerja di sana," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika ditemui mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.