Search This Blog

Thursday, April 18, 2013

Terkandas selepas pengganas bom Maraton Boston



Terkandas selepas pengganas bom Maraton Boston
Azrina (kiri) sempat bergambar bersama Scott Emus (tengah) yang membantunya dalam kejadian pengeboman di Boston, Amerika Syarikat.
Kuala Lumpur: “Jauh saya mengembara untuk menyertai Maraton Boston, tak sangka saya terpaksa berhenti sebelum garisan penamat susulan letupan bom,” kata Azrina Naimuddin, 33.

Beliau antara sembilan warga Malaysia yang terselamat dalam insiden letupan bom ketika berlangsungnya larian Maraton Boston di Massachusetts, Amerika Syarikat, Isnin lalu.
Menceritakan detik itu, Azrina berkata, ledakan itu berlaku empat jam selepas perlumbaan dimulakan, yang mana ada peserta sudah menamatkan larian.

3.2km dari garisan penamat

“Jarak larian untuk setiap peserta adalah 42 kilometer dan saya berada 3.2 kilometer dari garisan penamat sebelum pasukan keselamatan Boston mengepung kawasan itu.

“Saya dan seorang lagi peserta tempatan terkejut dengan kehadiran pasukan keselamatan yang begitu ramai dan kami tertanya-tanya apa yang berlaku sebelum dimaklumkan mengenai kejadian,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang (Isnin waktu tempatan), dua bom meletup tidak jauh dari garisan penamat acara larian itu, diikuti letupan kedua berlaku 10 saat kemudian. Insiden itu menyebabkan tiga kematian, 134 cedera, dengan 17 orang dalam keadaan kritikal manakala 25 orang lagi parah.
Dibantu penduduk

Dalam cuaca sejuk, Azrina berkata beliau terkandas di tengah-tengah kota Boston dan keadaan bertambah rumit apabila pihak berkuasa tempatan mengarahkan semua pengangkutan awam diberhentikan sementara waktu.

“Namun, dalam keadaan kelam-kabut dan masih terkejut dengan berita ledakan bom itu, seorang lelaki tempatan bernama Scott Emus tampil memberikan bantuan dan menghantar saya pulang ke hotel dengan selamat,” katanya.

Ditanya sebab menyertai perlumbaan itu, Azrina berkata, Maraton Boston adalah pertandingan impian bagi setiap pelari di seluruh dunia dan ia acara tahunan paling berprestij.

Azrina turut memberitahu BH, lapan lagi warga Malaysia yang menyertai perlumbaan terbabit selamat keluar dari Boston dan beliau akan pulang ke tanah air beberapa hari lagi sebaik urusannya di bandar raya itu selesai.

No comments:

Post a Comment