Search This Blog

Friday, April 5, 2013

Sindiket dadah di Johor lumpuh

Sindiket dadah di Johor lumpuh
Mohd Mokhtar (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Permas Jaya, Johor Bahru, semalam. Johor Bahru: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di negeri ini apabila merampas 57 kilogram serbuk dadah dan menyita aset mewah bernilai RM4.73 juta dalam dua serbuan di Permas Jaya di sini.

Dalam serbuan pada 26 dan 27 Mac lalu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang beroperasi sejak sebulan lalu.
Rampas mesin proses pil


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata pihaknya turut merampas sebuah mesin mencetak pil dan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah rumah di Permas Jaya pada jam 6.20 petang dan menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 60 tahun.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui serbuk dadah pelbagai jenis terdiri daripada ecstacy, syabu, ketamin dan kafin selain merampas sebuah mesin mencetak pil. Sebuah kereta Porche Carerra turut disita,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah kondominium juga di Permas Jaya pada jam 1.50 pagi 27 Mac lalu dan menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui pil ecstacy seberat 2.48 kilogram dan enam biji pil eramin 5. Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda City dan Peugeot 508 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek warga Indonesia terbabit memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan positif dadah.

No comments:

Post a Comment