Ribut landa Batu Pahat
Antara rumah yang rosak dalam kejadian ribut di beberapa kawasan di Batu Pahat.
BATU PAHAT – “Saya hanya mampu memeluk cucu di sudut rumah dan melihat atap rumah saya diterbangkan angin kencang,” kata Rohana Ahmad, 48, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Air Putih, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 petang itu katanya, dia bersama anak perempuan dan cucunya sedang berehat di dalam rumah sebelum terdengar bunyi angin yang cukup kencang.

Apabila menyedari keadaan akan menjadi lebih buruk, Rohana bergegas mengambil cucunya dan duduk berselindung di sudut rumah. Namun, keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila atap rumah tercabut dibawa angin manakala kayu alang jatuh ke lantai. Keadaan ketika itu cukup menakutkan.

“Selepas kira-kira 15 minit, saya terdengar bunyi dentuman kuat yang merobohkan bumbung tempat letak kereta yang menghempap kereta kami,” katanya.
Sebanyak 53 rumah termasuk sebuah masjid dan balai raya, serta tiga kenderaan mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda di beberapa kawasan di daerah ini.

Antara kawasan yang dilanda ribut berkenaan adalah Kampung Air Putih (29 rumah rosak), Kampung Sri Wangi, Sri Medan (tujuh) dan Parit Awang, Yong Peng (13).

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan bertindak menyalurkan bantuan segera kepada mangsa ribut. Beliau berkata, laporan mengenai kerosakan yang dialami akan dihantar kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membolehkan pihak berkenaan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana Alam negeri.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Adnan Mohd. Yasin berkata, kesemua 53 rumah dan premis yang terlibat dalam kejadian berkenaan akan disalurkan bantuan secepat mungkin.

“Mereka juga akan menerima bantuan membaik pulih rumah selepas JKM selesai menilai kerosakan terhadap rumah yang terlibat dalam bencana alam berkenaan,” katanya.