Polis syaki insiden di Boston dirancang
Dzhokhar berada dalam keadaan parah dan masih menerima rawatan di Hospital Boston.
BOSTON - Pesuruhjaya Polis Boston sifatkan serangan Maraton Boston suatu tindakan dirancang berikutan penemuan pelbagai senjata dari kedua-dua suspek adik beradik itu.

Dipetik AFP, Ed Davis berkata, pihaknya mendapati banyak bom buatan sendiri meletup termasuk 250 butir peluru di tempat kejadian.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai fakta itu  berdasarkan bukti ditemui di tempat kejadian. Pemilikan peluru sebanyak itu tidak masuk akal kerana menjadi kesalahan memiliki jumlah peluru sebanyak itu di kawasan bandar," katanya.

Menurutnya, suspek juga mempunyai niat menyerang individu lain berdasarkan penemuan senjata di rumah mereka.

“Kami masih belum dapat melakukan siasatan terperinci terhadap suspek, Dzhokhar Tsarnaev, 19, kerana beliau kini masih dirawat selepas cedera parah di tekak akibat ditembak ketika sedang bersembunyi di dalam sebuah bot di belakang rumahnya,” katanya.

Kejadian Maraton Boston minggu lalu, suspek bersama abangnya Tamerlan Tsarnaev, 26 dipercayai melakukan serangan bom di garisan penamat perlumbaan hingga menyebabkan tiga maut manakala lebih 180 cedera.

Tamerlan bagaimanapun, ditembak mati ketika diburu polis dua hari selepas insiden itu.