Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Perbicaraan Nayati: Guru cerita percubaan halang kereta penculik



KUALA LUMPUR 15 April - Seorang guru menceritakan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagaimana beliau mendengar jeritan dari mangsa culik, Nayati Shamelin Moodliar, seorang kanak-kanak warga Belanda berusia 12 tahun, berdekatan Sekolah Antarabangsa Mont Kiara di sini.
Jonathan Robert Daley, 38, seorang guru pendidikan jasmani di sekolah berkenaan, memberitahu bagaimana beliau cuba mengejar kereta penculik selepas melihat seorang lelaki tidak dikenali memasukkan mangsa ke dalam kereta.
"Saya mengejar kereta itu sebelum kereta itu bertukar arah ke arah saya.
Saya berada di sebelah jalan apabila kereta itu menuju ke arah saya.
"Pada ketika itu, saya berada di tengah jalan dan terpaksa mengelak kerana kereta itu dipandu laju dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hendak berhenti," katanya di hadapan Hakim Kamardin Hashim.
Daley, yang merupakan saksi pertama pendakwaan berkata, beliau hanya sempat menendang pintu sebelah kereta pemandu.
Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran apa yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian, Daley berkata beliau menendang pintu kereta kerana mengetahui ada seorang kanak-kanak di dalam kereta tersebut.
Beliau berkata demikan pada perbicaraan kes tiga lelaki yang didakwa menculik Nayati di Jalan Kiara 1, Mont Kiara, Brickfields di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 27 April, 2012.
Tiga tertuduh tersebut, Chong Tat Siong, 24, yang bekerja sendiri, dan dua rakannya, Foong Khar Fai, 20, seorang jurujual telefon bimbit; Lee Phak Seng, 34, seorang penggangur dan seorang lagi yang masih bebas didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika disabit kesalahan.
Nayati dibebaskan penculiknya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya PLUS, pada 7.55 pagi, 3 Mei, seminggu selepas diculik di hadapan sekolah mangsa.
Menjawab soalan lain, Daley berkata, beliau hanya mengenali identiti kanak-kanak itu selepas beliau dan beberapa guru lain melihat beberapa buku latihan mangsa yang bertaburan di atas jalan.
Guru itu berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti pemandu kereta itu kerana kejadian itu berlaku dengan pantas.
Tat Siong diwakili peguam Rejinder Singh manakala Khar Fai dan Phak Seng masing-masing diwakili oleh Datuk Hanif Hashim dan K.T. Wong.
Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130415/ma_01/Perbicaraan-Nayati-Guru-cerita-percubaan-halang-kereta-penculik#ixzz2Qa5bw8tT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment