Pembunuhan Shaharuddin mungkin ada kaitan dengan tugas kastam
Anggota polis memeriksa tempat kejadian Datuk Shaharuddin Ibrahim maut selepas ditembak di persimpangan trafik di Lebuh Wawasan dari Lebuh Sentosa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) Datuk Shaharuddin Ibrahim, di Putrajaya hari ini, mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan kastam.
  
Anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan kastam.
  
"Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya," katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.
  
Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.
  
Timbalan ketua pengarah kastam itu ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.
  
Roslan berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah pada Ahad lepas dan mereka berbual sambil minum bersama.
  
"Allahyarham mempunyai dua orang anak. Dia seorang yang peramah dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di Seremban," katanya. - Bernama