Pantai Sepat diserang todak
Ahmad Hamizan melihat puluhan todak yang dinaikkan peserta digantung mengikut urutan berat sebelum diumumkan pemenang.
KUANTAN - Keghairahan 1,500 peserta pertandingan memancing  yang membanjiri pesisir Pantai Sepat dekat sini semalam untuk memburu spesies ikan bersaiz besar bagi  merebut hadiah utama,  tunai RM70,000 hanya disambut kawanan ikan todak, spesies kurang digemari kaki pancing.

Daripada 300 tangkapan yang dinaikkan peserta pertandingan memancing anjuran Faizal Joran bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu, semuanya todak kecuali  beberapa ikan lain termasuk yu pasir.

Penganjur, Ahmad Hamizan Mohd Din berkata, pihaknya tidak menjangkakan ‘serangan’ todak itu sebaliknya berdasarkan pengalaman enam kali menganjurkan pertandingan memancing di situ, kebanyakan ikan yang dinaikkan dari spesies pari.

Menurutnya, dia sendiri tidak pasti fenomena itu kerana sebelum ini  todak jarang menyambar umpan pancing memandangkan ikan itu selalu bermain di permukaan.

“Daripada 60 ikan yang tersenarai sebagai pemenang termasuk tiga teratas, 53 adalah todak manakala hanya tujuh yu pasir.

“Bagaimanapun setiap ikan yang dinaikkan peserta amat bernilai kerana peluang mereka untuk merebut RM70,000 bagi juara tetap terbuka walaupun ikan dinaikkan itu hanya seekor todak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang, semalam.

Menurutnya, walaupun ikan terberat yang dinaikkan peserta hanya 0.5 kilogram, RM70,000 yang ditawarkan tetap terlepas kepada juara.

“Dalam siri pertandingan memancing kategori pantai kali ini, peserta dari Felda Cherui, Kemaman, Hamidi Mohamad, 35 dinobatkan juara sekali gus membawa pulang  tunai RM70,000.

“Pemenang tempat kedua yang menaikkan ikan todak seberat 0.490 gram, Muhammad Faizal Ammanullah Khan, 34 dari Kuala Lumpur membawa pulang RM13,000 manakala Rosman Abdul Rashid dari Kuantan yang menaikkan todak seberat 0.475 gram  di tempat ketiga menerima RM6,000.

Seorang pemancing tempatan, Karim Jantan, 49 berkata, selain menyertai pertandingan itu, dia juga sering ke Pantai Sepat untuk memancing apabila ada kelapangan.

Menurutnya, selalunya todak susah untuk memakan umpan pancing kerana ikan tersebut sering bermain di permukaan air.

“Todak biasanya hanya terjerat di jaring bukan pada mata kail tapi kali ini sebaliknya pula yang berlaku.

“Saya tidak pasti dengan kehadiran ikan itu namun berdasarkan kepada tangkapan peserta, berkemungkinan kawanan todak bertumpu di Pantai Sepat ini,” katanya.

Menurutnya, pertandingan itu tidak mengira jenis  ikan kerana peserta menaikkan ikan terberat tetap dikira pemenang.

“Kalau bukan disebabkan pertandingan,  ikan ini tiada nilai dan mungkin hanya akan dicampakkan semula ke laut jika terkena pancing,” katanya.